KUALA LUMPUR: Pendekatan Barisan Nasional (BN) dalam menterjemahkan hubungan politik bersama parti-parti lain menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kini lebih bertumpu kepada konsep 'persefahaman' berbanding ikatan gabungan rasmi.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Razlan Rafii menjelaskan, model yang diguna pakai di Negeri Sembilan dan Johor terbukti memberikan hasil yang positif tanpa menimbulkan rasa tidak puas hati antara parti-parti bertanding.
Menurut Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri itu lagi, pengalaman masa lalu mengajar BN untuk lebih berhati-hati dalam memeterai sebarang ikatan politik rasmi.
Mengapa 'persefahaman' berbeza daripada gabungan rasmi?
Menerusi konsep persefahaman, beliau berkata, perundingan kerusi dan agihan peranan dibuat mengikut kekuatan tempatan tanpa menjejas jentera parti masing-masing.
"Bila kita ada Muafakat Nasional dulu, bila kita tak dapat jumpa kata putus, ada pihak ketiga yang meracuni perkara ini, akhirnya kita berpisah. Kita tak nak ulangi sejarah ini lagi.
"Sebab itu kita ada persefahaman, seperti di Negeri Sembilan dan Johor. Tidak ada satu pack yang betul-betul untuk kita pergi bersama secara rasmi, tetapi ada persefahaman dari segi agihan kerusi dan pertandingan. Bila ada persefahaman ini, tidak ada orang yang kecil hati atau rasa rugi," katanya dalam program Buletin AWANI Khas yang disiarkan pada Jumaat.
Pada PRN Johor 2026, BN berjaya memperkukuh penguasaannya apabila memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus mengekalkan kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.
Pakatan Harapan (PH) pula memenangi lapan kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) gagal memenangi sebarang kerusi. Keputusan itu menunjukkan BN bukan sahaja mempertahankan kedudukannya, malah meningkatkan jumlah kerusi berbanding PRN Johor 2022.
Di Negeri Sembilan pula, BN dan PN menjalinkan kerjasama pilihan raya dengan mengelakkan pertembungan sesama sendiri melalui pembahagian kerusi serta penyelarasan peranan.
Strategi tersebut membolehkan kedua-dua gabungan memperoleh majoriti dua pertiga apabila BN memenangi 18 kerusi dan PN tujuh kerusi, menjadikan jumlah keseluruhan 25 daripada 36 kerusi DUN. PH pula memenangi baki 11 kerusi dan kehilangan pentadbiran negeri yang dipegang sebelum ini
Isu subsidi diesel & kos sara hidup: 'Rakyat tiada saluran mengadu'
Dalam pada itu, Razlan turut menyentuh keresahan akar umbi mengenai dasar-dasar ekonomi kerajaan Pusat, terutamanya pelaksanaan penyelarasan subsidi disel dan beban kos sara hidup.
"Dulu masa zaman kami, kalau nak buat apa-apa dasar, kita ada libat urus (engagement) dengan rakyat. Nak naikkan elektrik 10 peratus pun kita buat libat urus dengan pihak berkepentingan. Sekarang ini, apa yang dibuat hanya berlandaskan jawapan 'tiada duit, tiada bajet'.
"Contohnya pemandu lori, bila kuota dipotong daripada 6,000 liter kepada 1,800 liter, lori hanya boleh bergerak 15 hingga 20 hari sahaja. Secara automatik pendapatan mereka terjejas 10 hari. Perkara-perkara sebegini rakyat tak tahu nak mengadu kepada siapa," jelasnya.
Garis merah kerjasama Persekutuan & 'Rumah Bangsa'
Mengulas mengenai hubungan dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat, Razlan menjelaskan bahawa penyertaan BN adalah atas titah Yang di-Pertuan Agong demi kestabilan negara selepas situasi hung parliament.
Namun, beliau menegaskan terdapat garis merah (red lines) yang tidak boleh dilangkaui oleh mana-mana rakan kerjasama, termasuk DAP.
"Kita masuk dengan perjanjian. Tidak boleh melangkaui garis merah berkenaan Sultan, agama Islam, Bahasa Melayu, dan Perlembagaan Malaysia.
"Sebab itu UMNO membuka 'Rumah Bangsa'. Kita nak betulkan rumah kita sendiri dulu dan memperkuatkan parti tanpa mengganggu parti lain, demi memberikan jaminan kestabilan kepada rakyat," katanya.