Skip to main content

Teknologi

Festival Idea Putrajaya: Penemuan arkeologi Lembah Bujang bongkar kehebatan tamadun Kedah Tua

Penyelidikan di Bukit Choras menemukan struktur binaan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan penyebaran agama Buddha, selain tiga batu bersurat dan pelbagai artifak yang memberikan gambaran mengenai kehidupan serta kebudayaan masyarakat ketika itu. - Gambar Astro AWANI
Penyelidikan di Bukit Choras menemukan struktur binaan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan penyebaran agama Buddha, selain tiga batu bersurat dan pelbagai artifak yang memberikan gambaran mengenai kehidupan serta kebudayaan masyarakat ketika itu. - Gambar Astro AWANI
Advertisement

GEORGE TOWN: Penemuan arkeologi di Lembah Bujang, khususnya di tapak Bukit Choras dan Sungai Batu, terus membuka lembaran baharu dalam memahami sejarah awal Semenanjung Malaysia, sekali gus membuktikan kewujudan sebuah masyarakat purba yang memiliki kebudayaan, teknologi dan sistem ekonomi yang jauh lebih maju daripada tanggapan sebelum ini.

Lebih menarik, penyelidikan di Bukit Choras menemukan struktur binaan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan penyebaran agama Buddha, selain tiga batu bersurat dan pelbagai artifak yang memberikan gambaran mengenai kehidupan serta kebudayaan masyarakat ketika itu. 

Keistimewaan tapak berkenaan turut terletak pada tahap pemeliharaannya yang masih baik, meskipun kerja-kerja ekskavasi setakat ini hanya meliputi kira-kira 35 peratus daripada keseluruhan kawasan.

Image
INOVASI USM

Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Nasha Rodziadi Khaw, penemuan itu penting kerana ia membuktikan bahawa Kedah Tua bukan sekadar sebuah pusat perdagangan, sebaliknya turut memiliki kegiatan ekonomi dan teknologi pengeluaran yang kompleks. 

"Bukti arkeologi seperti candi, tapak peleburan besi dan pelbagai artifak membolehkan sejarah masyarakat awal di negara ini difahami berdasarkan penemuan fizikal, bukan hanya bergantung kepada catatan sejarah.

"Penemuan arkeologi di Lembah Bujang telah menunjukkan bahawa wujud masyarakat dengan kebudayaan yang sangat maju dan sistem ekonomi yang sangat pelbagai," katanya kepada Astro AWANI, baru-baru ini.

Image
INOVASI USM

Beliau berkata, antara penemuan paling signifikan ialah di tapak Sungai Batu yang menempatkan kompleks industri peleburan besi dipercayai antara terawal di Asia Tenggara, dengan kegiatan berkenaan dikesan bermula sekitar abad kedua Masihi. 

Jelasnya, jumlah tapak peleburan yang ditemukan memberi petunjuk bahawa penghasilan besi dilakukan dalam skala besar, sekali gus membuka kemungkinan komoditi itu turut dieksport ke kawasan lain.

Advertisement
Image
INOVASI USM

Dr. Nasha berkata, penemuan itu mengubah pemahaman penyelidik terhadap peranan Kedah Tua yang sebelum ini lebih dikenali sebagai pusat perdagangan, sedangkan bukti baharu menunjukkan masyarakat ketika itu turut mempunyai keupayaan menghasilkan komoditi untuk pasaran luar. 

"Di Bukit Choras pula, struktur binaan yang ditemukan dipercayai berfungsi sebagai pusat penyebaran agama Buddha, sekali gus memperlihatkan kepelbagaian pengaruh kebudayaan dan kepercayaan masyarakat pada zaman berkenaan.

"Dalam usaha merungkai sejarah itu, penyelidikan arkeologi moden turut memainkan peranan penting apabila setiap artifak yang ditemukan menjalani analisis saintifik di makmal, termasuk analisis geokimia dan kaedah pentarikhan. 

"Pendekatan berkenaan membolehkan penyelidik mengenal pasti komposisi bahan, asal-usul serta anggaran usia sesuatu penemuan, selain mendapatkan gambaran lebih tepat mengenai teknologi yang digunakan masyarakat silam," ujarnya.

Mengulas hubungan Kedah Tua dengan kerajaan Srivijaya yang berpusat di selatan Sumatera, Dr. Nasha menjelaskan bahawa hubungan antara kedua-duanya tidak seharusnya ditafsirkan berdasarkan sempadan politik moden. 

Image
INOVASI USM

Sebaliknya, jaringan masyarakat di rantau Kepulauan Melayu sebelum abad ke-14 Masihi jauh lebih terbuka, melibatkan pertukaran perdagangan, diplomasi, kebudayaan dan teknologi, termasuk kemungkinan wujudnya persaingan antara kerajaan.

"Hubungan antara Kedah Tua dengan Srivijaya itu adalah jauh lebih kompleks. Kemungkinan wujud hubungan dari segi perdagangan, perkaitan seni budaya dan mungkin juga persaingan," katanya sambil menjelaskan persamaan penemuan arkeologi di Bukit Choras dengan tapak di Sumatera tidak semestinya membuktikan Kedah Tua berada di bawah pemerintahan Srivijaya.

Selain memperkaya khazanah ilmu, penyelidikan berkenaan turut memberi manfaat kepada negara dalam aspek pendidikan, ekonomi dan pembinaan identiti kebangsaan. 

Penemuan baharu membolehkan pemahaman sejarah dikemas kini, sekali gus membuka ruang kepada generasi muda untuk melihat sejarah negara melalui bukti dan perspektif yang lebih luas, bukan sekadar mengulang naratif sedia ada.

Malah, potensi tapak arkeologi Lembah Bujang sebagai produk pelancongan budaya juga mampu merancakkan ekonomi penduduk setempat menerusi kehadiran pelancong, selain membuka peluang kepada aktiviti perniagaan dan penjualan produk tempatan. 

Advertisement
Image
INOVASI USM


Pelbagai artifak termasuk patung, objek hiasan dan tinggalan struktur binaan mempunyai nilai sejarah yang boleh diketengahkan melalui pameran muzium serta pembangunan kawasan warisan.

Pada masa sama, Dr. Nasha berpandangan penemuan berkenaan penting dalam membentuk naratif identiti kebangsaan yang lebih menyeluruh, memandangkan sejarah Malaysia tidak seharusnya hanya dilihat bermula selepas kemerdekaan pada 1957. 

"Sebaliknya, kewujudan kerajaan awal seperti Kedah Tua membuktikan masyarakat di rantau ini sudah lama mempunyai jaringan perdagangan antarabangsa, menerima pengaruh luar dan membangunkan kebudayaan tersendiri.

"Malaysia terletak di tengah-tengah laluan perdagangan antara China, India dan dunia Arab. Kekuatan ekonomi kita sejak dahulu lagi turut bergantung kepada jaringan hubungan dengan dunia luar," katanya.

Justeru, penyelidikan arkeologi di Lembah Bujang bukan sekadar usaha menggali dan memelihara tinggalan purba, sebaliknya menjadi landasan penting untuk memahami asal-usul pembentukan masyarakat, perkembangan ekonomi serta hubungan antarabangsa yang membentuk sejarah negara. 

Setiap penemuan baharu bukan sahaja memperkukuh khazanah warisan, malah mengingatkan generasi hari ini bahawa Malaysia memiliki sejarah ketamadunan yang panjang dan wajar terus diterokai.

Usaha memperluas pengetahuan dan mengetengahkan hasil penyelidikan seperti ini turut menjadi antara pengisian penting Festival Idea Putrajaya yang akan berlangsung pada 17 hingga 19 November ini di Putrajaya, yang menyediakan platform kepada penyelidik dan institusi pengajian tinggi untuk mempamerkan hasil penyelidikan serta inovasi kepada masyarakat.

Must Watch Video

Advertisement