BN utamakan rundingan, belum putus calon PRK Kinabatangan, DUN Lamag

Ahmad Zahid ketika ditemui media pada majlis Perhimpunan Agung Parti Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF) di Setia Ecohill, di sini, pada Ahad. - Foto Astro AWANI/ABDUL WAFI NORAZMI
SEMENYIH: Barisan Nasional (BN) masih belum membuat sebarang keputusan berhubung peletakan calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag yang kosong susulan kematian Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Ringkasan AI
- Barisan Nasional (BN) belum membuat keputusan mengenai calon dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag susulan kematian Bung Moktar Radin.
- BN memilih pendekatan perundingan dengan parti-parti lain yang bertanding di kawasan tersebut demi kepentingan rakyat dan kestabilan politik di Sabah.
- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas untuk urus PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag selepas kematian Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah.
“BN kini sudah menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan. Kita tidak menolak kemungkinan untuk berbincang dengan GRS dan juga parti-parti lain dalam kerajaan negeri berkaitan kekosongan kerusi ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Perhimpunan Agung Parti Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF) di Setia Ecohill, di sini, pada Ahad.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, BN mengambil kira keletihan rakyat yang berdepan dengan siri pilihan raya sebelum ini, khususnya Pilihan Raya Negeri Sabah yang lalu, justeru perundingan dengan semua pihak dilihat sebagai pendekatan lebih wajar.
“Kita sedar rakyat sudah letih dan terlalu banyak masa telah dihabiskan dalam pilihan raya sebelum ini.
“Oleh itu, perundingan dengan semua pihak adalah langkah yang lebih baik demi menjamin kestabilan politik,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual mengadakan mesyuarat khas pada Selasa ini bagi urusan PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag susulan kematian Bung Moktar pada 5 Disember lalu.
Pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17, Allahyarham Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah mempertahankan kerusi DUN Lamag dengan majoriti tipis 153 undi dalam saingan enam penjuru.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid berkata tempoh Parlimen yang disifatkannya tidak panjang, iaitu sekitar maksimum 24 bulan, turut menjadikan perundingan sebagai keutamaan BN ketika ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


