POLITIK
BN yakin kerjasama dengan PH kekalkan kemenangan pada PRU16 - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid Hamidi berkata keyakinan itu disandarkan kepada prestasi cemerlang BN dalam dua PRK yang lalu. - Bernama
GOPENG: Barisan Nasional (BN) menzahirkan keyakinan penuh bahawa kerjasama yang terjalin bersama Pakatan Harapan (PH) mampu mengekalkan kemenangan di kerusi-kerusi yang dimenangi pada pilihan raya lepas.
Pengerusinya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata keyakinan itu disandarkan kepada prestasi cemerlang BN dalam dua Pilihan Raya Kecil (PRK) yang lalu, iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di Johor dan Ayer Kuning di Perak.
"Sebagai contoh, di DUN Mahkota, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), BN menang dengan majoriti 5,166 undi. Namun, hasil kerjasama erat dengan PH pada PRK lalu, kita berjaya meningkatkan majoriti kepada 20,648 undi.
"Siapa yang bantu? Sudah tentu rakan-rakan kita dalam PH. Begitu juga di Ayer Kuning, daripada 2,213 undi pada PRU15, kita berjaya meraih majoriti 5,006 undi dalam PRK. Ini fakta yang perlu diambil serius," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Gopeng, di sini hari ini.Turut hadir Pengerusi UMNO Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua UMNO Bahagian Gopeng Datuk Hang Tuah Din.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata kerjasama bersama PH itu seharusnya dijadikan panduan dan renungan oleh pimpinan dan akar umbi, memandangkan strategi itu dilihat ampuh dan bersesuaian untuk mengekalkan kuasa sedia ada.
"Kita tak boleh sombong, angkuh dan bongkak untuk pergi solo. Ini realiti sekarang dan dengan cara ini juga kita boleh kembali dominan dalam arena politik negara," katanya.
Sementara itu, Saarani berkata UMNO Perak akan memberi penekanan khusus kepada usaha menarik semula sokongan pengundi bukan ahli parti sebagai sebahagian daripada strategi menghadapi PRU16.
Katanya pendekatan itu penting bagi memperluas sokongan akar umbi, khususnya dalam kalangan orang Melayu yang berada di luar lingkungan keahlian parti.
"Tumpuan kita bukan hanya kepada ahli parti tetapi juga kepada mereka yang bukan ahli. Kita perlu yakinkan mereka bahawa UMNO masih kekal sebagai wadah perjuangan yang membela hak dan kepentingan Melayu," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami