SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, pada minggu ketiga atau keempat bulan depan bagi memohon perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Amirudin berkata permohonan itu akan dibuat sebelum DUN terbubar secara automatik pada 25 Jun ini.

"Sebab ini antara persefahaman kami Menteri-menteri besar iaitu pada minggu ketiga dan keempat bulan Jun," katanya kepada pemberita selepas majlis pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR), di sini, hari ini.

Enam negeri yang akan melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada tahun ini ialah Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Dalam pada itu, mengenai pembahagian kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Selangor, beliau berkata tujuh daripada 56 kerusi masih dalam perbincangan untuk dimuktamadkan.

Terdahulu, Amirudin, mewakili Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), menerima pengiktirafan MBOR menerusi jualan ayam dan telur ayam bersubsidi terbesar semasa penganjuran Jualan Mega Ehsan Aidilfitri, bulan lalu.

Beliau berkata Jualan Mega Ehsan Aidilfitri adalah program jualan dengan kuantiti terbesar yang pernah PKPS anjurkan dan merupakan sebahagian daripada program Jelajah Ehsan Rakyat (JER).

Menteri Besar berkata sejak JER dilaksana bermula September tahun lalu hingga bulan ini, PKPS telah membelanjakan sebanyak RM37 juta dan memberi penjimatan sebanyak RM18 juta kepada lebih dua juta penduduk di negeri itu.

Amirudin berkata JER pada tahun lalu telah merekodkan jualan sebanyak 30,000 ekor ayam dan 10,712 papan telur ayam sepanjang dua hari program berlangsung dan akan diteruskan dengan kolaborasi bersama dengan Program Jualan Rahmah, seawal bulan depan dengan jangkaan tambahan jumlah produk makanan.

JER dilaksanakan bertujuan untuk meringankan beban rakyat dalam mendepani kenaikan harga makanan dengan menawarkan jualan harga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran semasa.

-- BERNAMA