Tindakan Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad mengusulkan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin jelas memperlihatkan niat sebenar beliau untuk berpolitik ketika negara berdepan dengan pandemik.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan menegaskan, ini bukan masa yang sesuai untuk berpolitik dan tindakan itu hanya mengambarkan kerakusan sesetengah pihak untuk merampas kuasa tanpa memikirkan kesusahan yang dialami rakyat.

Katanya, sebilangan besar daripada rakyat Malaysia berdepan dengan kebimbangan dibuang kerja ekoran pengecutan ekonomi.

"Bukan tak boleh berpolitik, tapi jangan mempolitikkan masa depan rakyat ketika dunia sedang berdepan dengan tempoh pandemik seperti ini.

"Usul sebegini seakan-akan beliau tidak peka dengan kesusahan rakyat dalam musim COVID-19 dan tekanan ekonomi," katanya ketika ditemu bual oleh Buletin AWANI di sini, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Shahril menegaskan tindakan pembangkang untuk mengusulkan undi tidak percaya secara tergesa-gesa dalam keadaan ini barangkali disebabkan perasaan takut terhadap rakyat yang dilihat mungkin akan terus 'selesa' dengan pemerintah semasa.

BACA: Mahathir dan Anwar sepakat kembalikan mandat rakyat



Dalam pada itu, Shahril juga menyatakan terkejut dengan Tun Mahathir yang menjenamakan diri sebagai wira demokrasi sedangkan membelakangkan kepentingan rakyat.

"Ini adalah misteri paling besar dalam sejarah negara bagaimana bekas Perdana Menteri itu boleh menjenamakan diri sebagai wira demokrasi," ujarnya.

Bagaimanapun beliau mengakui masih ada banyak ruang yang perlu diperbaiki oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, kajian yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan baru-baru ini mendedahkan 76.6 peratus syarikat menyatakan mereka berdepan dengan cabaran untuk membayar gaji itu memberi signal kepada kerajaan untuk memberi suntikan atau pelan baharu untuk selamatkan keadaan.