AYER KEROH: Parti Keadilan Rakyat (PKR) diseru untuk tidak membiarkan rasa kecewa dan kekalahan dalam beberapa siri pilihan raya melemahkan tekad parti, sebaliknya bangkit membina semula kekuatan berlandaskan idealisme asal perjuangan.
Setiausaha Agungnya Datuk Dr Fuziah Salleh menegaskan, situasi mencabar yang dihadapi parti ketika ini bukanlah titik paling rendah dalam sejarah penubuhannya.
Mengimbau sejarah pasca Pilihan Raya Umum (PRU) 2004, beliau mengingatkan perwakilan pada Kongres Nasional PKR hari ini, parti itu pernah melalui fasa yang jauh lebih getir apabila hanya bertahan dengan satu kerusi Parlimen di Permatang Pauh.
"Kalau kita mahu bercakap tentang titik paling rendah dalam sejarah PKR, saya ingin kita mengingati bahawa, titik paling rendah itu bukan hari ini. Kita pernah berada di tempat yang jauh lebih sukar.
"Pada 2004, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih berada di dalam penjara dan kita hanya ada satu kerusi Parlimen. Ramai yang bertanya ketika itu, mampukah PKR bertahan?
"Tetapi kita tidak menyerah, kita terus bergerak, membina organisasi dan mendekati rakyat," katanya ketika menyampaikan ucapan aluan pada Kongres Nasional PKR 2026 di Melaka International Trade Centre (MITC) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Fuziah mengakui kehadiran perwakilan pada kongres kali ini adalah dalam keadaan 'luka dan tercedera' susulan kehilangan beberapa kawasan kubu kuat serta perubahan dinamik hubungan politik bersama rakan seperjuangan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, kongres berkenaan bukan medan untuk saling menuding jari, sebaliknya platform muhasabah bagi merangka hala tuju masa depan.
"Kita tidak boleh berpura-pura bahawa tiada apa yang berlaku. Kita mesti mengakui bahawa kita pernah kecewa dan terluka. Namun, luka bukan pengakhiran dan kekalahan bukan penamat kepada perjuangan.
"Tugas kita hari ini bukan terus melihat kepada apa yang telah hilang, tetapi menentukan apa yang mahu kita bina semula," tegasnya.
Sehubungan itu, Fuziah menyeru seluruh saf kepimpinan dan akar umbi untuk kembali menghidupkan roh Deklarasi Permatang Pauh 1998 dengan berpegang teguh kepada prinsip islah mastata’tu (melakukan pembaikan sedaya upaya).
Jelasnya, idealisme menegakkan keadilan, integriti institusi, tatakelola baik dan membanteras rasuah adalah asas yang membolehkan parti itu bertahan sebelum mengecapi kuasa pemerintahan.
"Justeru, apabila bercakap tentang tema 'Memugar Reformasi', kita bukan mahu mencipta idealisme baharu. Kita mahu menghidupkan kembali idealisme yang pernah menjadi nadi perjuangan kita.
"Mengapa hari ini, ketika kita masih mempunyai organisasi, wakil rakyat dan pengalaman mentadbir, kita mahu menganggap diri kita sudah selesai? Perjuangan belum selesai dan kita akan bangkit," ujarnya lagi.
Kongres Nasional KEADILAN 2026 yang bertemakan "Memugar Reformasi Membina MADANI" itu menghimpunkan lebih 5,000 perwakilan dan pemerhati dari seluruh negara, selain dihadiri pimpinan parti komponen Kerajaan Perpaduan serta perwakilan diplomatik asing.