KUALA LUMPUR: Cadangan agar Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diangkat menjadi Pengerusi Barisan Nasional (BN) ketika ini adalah tidak wajar, kata Ketua UMNO Wangsa Maju, Datuk Seri Mohd Shafei Abdullah.

Bekas setiausaha politik kepada Datuk Seri Najib Tun Razak itu berkata, ini adalah kerana Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti sudah pun berbesar hati untuk terus mencalonkan Ahli Parlimen Bera itu bagi jawatan nombor satu negara untuk pilihan raya seterusnya.

Selaku akar umbi, Shafei berkata, keputusan MKT itu sepatutnya diterima dengan baik, namun beliau menegaskan jangan ada pihak yang cuba ‘rock the boat’ seolah-olah mahu mengganggu kestabilan sedia ada.

“Cadangan yang minta agar Datuk Seri Ismail Sabri jadi Pengerusi BN yang baru, ini dah terlebihlah kerana dalam Presiden parti dan juga Majlis Tertinggi berbesar hati, untuk melantik Datuk Seri (Ismail Sabri) sebagai PM, saya ingat kuasa sebagai Pengerusi BN ni biarkan Datuk Seri Zahid (kekal) menjadi Pengerusinya.

It’s a win win situation dan saya harap tak ada lagi dari mana-mana pihak, yang demand pula minta tukar Datuk Seri Zahid lah, tukar Datuk Seri Ismail jadi Pengerusi lah, orang minta itu ini, kerana keputusan sudah dibuat malam tadi,” katanya kepada Astro AWANI.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang mencadangkan sudah tiba masanya untuk Ismail Sabri diangkat menjadi Pengerusi BN yang baharu.

Selain itu, Annuar, yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, Ismail Sabri juga wajar dipilih sebagai Pengarah Utama Jentera Pilihan Raya BN.

“Sebagai calon Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri perlu diberi seluas-luas ruang untuk mencorakkan pentadbiran yang mampu membawa 'order baharu' politik negara yang lebih segar, bersih, berintegriti dan mampu memulihkan negara,” katanya lagi.

BACA: MKT UMNO cadang Ismail Sabri calon PM untuk PRU-15 

BACA: Selepas sah calon Perdana Menteri, Annuar Musa cadang Ismail Sabri jadi Pengerusi Barisan Nasional 

Cadangan itu susulan keputusan sebulat suara MKT UMNO semalam agar Ismail Sabri akan menjadi calon parti berkenaan untuk jawatan nombor satu kerajaan itu, dalam pilihan raya umum seterusnya.

Dalam pada itu, Shafei berkata, beliau mengakui pencalonan Naib Presiden UMNO untuk jawatan Perdana Menteri adalah norma baharu, memandangkan jawatan itu biasanya akan disandang Presiden parti.

“Tapi dalam keadaan norma baharu ini, kita kena terima hakikat bahawa, permainan politik sekarang berbeza. Kerana Ismail Sabri telah menjadi Perdana Menteri, dan apabila kita nak pergi ke PRU yang baharu, sudah semestinya terus menjadi calon Perdana Menteri kita.

“Dan dari segi engagement pun, hubungan beliau dengan masyarakat dan dari segi penilaian masyarakat terhadap beliau lebih mudah dikenalpasti,” katanya lagi.