KUALA LUMPUR: Semua calon yang akan mewakili Barisan Nasional (BN) akan menggunakan logo dacing pada Pilihan Raya Negeri di enam negeri.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan keputusan itu dibuat biarpun BN kini mengadakan kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH).

Ahmad Zahid juga menjelaskan, soal pembahagian kerusi yang akan ditandingi dalam PRN sudah mula dibincangkan, namun ia belum dimuktamadkan lagi.

"Isu pembahagian kerusi akan dibincangkan dalam mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan.

"BN akan menjalin kerjasama antara parti politik sedia ada, tetapi calon BN akan kekal menggunakan lambang BN," katanya pada sidang media selepas sesi lawatan rasminya ke Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) di sini, hari ini.

Media semalam melaporkan, enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu mencapai persetujuan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada tempoh dua minggu terakhir Jun ini bagi memberi laluan kepada PRN masing-masing.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, dilaporkan berkata kesepakatan itu dicapai dalam satu pertemuan antara enam Menteri Besar serta Ketua Menteri di ibu negara pada Rabu.