Skip to main content

Politik

Cubaan kaitkan Anwar dengan krisis pembangkang usaha terdesak - AMK

PADANG RENGAS, 30 Mei -- Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim, bercakap ketika ditemu bual sempena Majlis Pelancaran Sukan Belia (SUKBEL) dan Perasmian Karnival Belia MADANI di SMK Tun Perak, hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Muhammad Kamil berkata adalah tidak munasabah untuk meletakkan kesalahan kepada Anwar bagi setiap krisis dalaman pembangkang, sedangkan punca sebenar berakar umbi daripada perebutan kuasa dan kerusi. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyifatkan cubaan mengaitkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pergolakan pembangkang sebagai usaha terdesak bagi menutup kelemahan kepimpinan blok itu.

Ketua AMK Muhammad Kamil Abdul Munim berkata adalah tidak munasabah untuk meletakkan kesalahan kepada Anwar bagi setiap krisis dalaman pembangkang, sedangkan punca sebenar berakar umbi daripada perebutan kuasa dan kerusi.

“Orang lain yang rakus mencatur politik, mewujudkan ketidakstabilan, terlibat dengan budaya tikam-menikam serta pelbagai percaturan politik termasuk gerakan tebuk atap, akhirnya Perdana Menteri juga yang mahu dipersalahkan.

“Marzuki (Datuk Dr Marzuki Mohamad) sendiri mengakui wujud pergolakan dalaman pembangkang yang berpunca daripada isu perebutan kerusi dan perbezaan kepentingan politik. Jika demikian keadaannya, mengapa Anwar pula yang perlu dipertanggungjawabkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhammad Kamil mengulas kenyataan Marzuki yang juga bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri kelapan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai wujudnya “permainan politik aras tinggi” yang didakwanya berada di bawah pengetahuan Anwar.

Sementara itu, Muhammad Kamil berkata krisis yang melanda pembangkang hari ini jelas menunjukkan kelemahan kepimpinan dan kegagalan mereka mengurus pakatan sendiri, bukannya hasil campur tangan mana-mana pihak luar.

Katanya, usaha menghidupkan semula kerjasama politik yang pernah gagal hanya membuktikan pembangkang ketandusan idea dan gagal menawarkan agenda yang meyakinkan rakyat.

“Rakyat semakin sedar bahawa pakatan seperti Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) gagal menampilkan pelan ekonomi yang jelas serta agenda pembangunan yang kukuh.

“Sebaliknya, mereka terus bergantung kepada politik kebencian dan memainkan sentimen kaum serta agama secara sempit untuk meraih sokongan,” katanya.

Beliau berkata ketika pembangkang sibuk dengan percaturan politik dan kuasa, kerajaan pimpinan Anwar terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekonomi negara, menarik pelaburan serta meningkatkan daya tahan ekonomi Malaysia.

“Perdana Menteri baru sahaja pulang daripada lawatan kerja di Tokyo dan terus memberi fokus kepada agenda memperkukuh ekonomi serta menjaga kepentingan rakyat.

“Malangnya, ada pihak yang masih terperangkap dalam permainan politik lama, sibuk dengan percaturan politik tebuk kapal dan tebuk atap sedangkan rakyat mengharapkan penyelesaian kepada isu kos sara hidup, pekerjaan dan pembangunan negara,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement