KUALA LUMPUR: Sebaran dokumen bertajuk ‘Analisis Strategik PRU16: Ringkasan Mengikut Tier’ kepada media selepas ia dibentangkan di majlis perjumpaan 900 pimpinan PKR di Petaling Jaya, baru-baru ini dipercayai ada kaitan dengan pihak yang sehaluan dengan Rafizi Ramli.
Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Dzul Hilmi Zainol berkata, ini kerana ia secara jelas haluan bekas Timbalan Presiden PKR itu yang cuba menyampaikan kepada seluruh anggota parti itu bahawa tanpa mereka (haluan Rafizi), PKR berada dalam keadaan yang lemah dan akan gagal jika memasuki gelanggang PRU16.
Menurutnya, rakyat boleh menilai sendiri mesej yang cuba dimainkan melalui sebaran dokumen tersebut kerana ia bukan sekadar laporan dalaman biasa, sebaliknya dilihat disusun bagi membentuk persepsi bahawa PKR sedang berdepan kelemahan dan kepimpinan tertentu menjadi puncanya.
“Lebih menghairankan apabila naratif yang dibina sangat selari dengan gerakan politik kelompok tertentu yang sejak kebelakangan ini dilihat lebih gemar bermain persepsi serta tekanan media berbanding memperkukuhkan parti dari dalam.
“Ini kerana secara jelas haluan Rafizi cuba menyampaikan kepada seluruh anggota PKR bahawa tanpa mereka, PKR berada dalam keadaan lemah dan akan gagal jika memasuki gelanggang PRU16,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Dzul Hilmi berkata, budaya politik seperti ini tidak membantu parti menghadapi PRU16, malah hanya menjejaskan keyakinan akar umbi dan rakyat terhadap kestabilan parti.
“Saya juga berpandangan, mana-mana pemimpin yang benar-benar ikhlas mahu melakukan reformasi sepatutnya memperkukuhkan parti secara kolektif, bukannya membina naratif seolah-olah parti hanya kuat apabila berpihak kepada kelompok tertentu dan lemah apabila kehendak politik mereka tidak dipenuhi.
“PKR bukan milik mana-mana individu atau kem. Parti ini dibina atas perjuangan bersama. Sebab itu saya percaya majoriti anggota mahukan politik yang matang, stabil dan berorientasikan kemenangan parti, bukannya permainan persepsi yang akhirnya hanya memecah-belahkan saf perjuangan sendiri,” katanya.
Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan mengenai analisis strategik PRU16 Parlimen Malaysia dalaman PKR yang dibentangkan seorang pemimpin kanan parti berkenaan.
Dokumen itu memaparkan gambaran bahawa PKR kini berada dalam keadaan berjaga-jaga apabila penguasaan parti di beberapa kerusi utama didakwa semakin terhakis.
Bagaimanapun, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mujahid Yusof Rawa berkata, analisis itu disifatkan sebagai langkah memperkukuh parti itu dan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bukannya usaha melemahkan rakan dalam Pakatan Harapan (PH).
Jelasnya, kajian tersebut lebih menjurus kepada usaha memperkemas gerak kerja serta memperkukuh kedudukan PKR bagi memastikan PH kekal relevan dan kuat menghadapi pilihan raya akan datang.