PUCHONG: Dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya beberapa Ahli Parlimen PKR menerima ugutan dan sokongan sehingga meninggalkan parti berkenaan merupakan tindakan terdesak, tegas Datuk Zuraida Kamaruddin

Menurut Zuraida, Anwar sebaliknya, seakan menafikan alasan sebenar di sebalik tindakan Ahli Parlimen PKR yang berpaling tadah dan kini menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Saya ingat dakwaan itu seorang yang desperate (terdesak) dan yang sudah hilang hala tuju kerana tidak dapat terima kenyataan bahawa Ahli Parlimen yang lompat dan sokong PN.

“(Mereka) sudah menyedari kelemahan-kelemahan yang dipamerkannya, apabila beliau (Anwar) kata ada jumlah tetapi tidak benar," kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan di Pangsapuri Kenanga, Putra Perdana Puchong, di sini pada Jumaat.

Zuraida yang juga Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Anwar yang juga Presiden PKR bahawa lima daripada Ahli Parlimen parti itu menerima ugutan dan sogokan sebagai 'umpan' untuk menarik sokongan mereka daripada PKR.

Anwar mendakwa, ugutan terbabit hanya untuk mendera Ahli Parlimen pembangkang agar menyatakan sokongan kepada pihak tertentu.

Dalam masa sama, Zuraida berkata, kejayaan kerajaan PN dalam menangani pandemik COVID-19 di negara ini menjadi antara penyebab beberapa Ahli Parlimen pembangkang berpaling tadah dan menyokong pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Kepercayaan mereka telah luntur, itu yang buatkan mereka ubah hala tuju sokong PN berdasarkan prestasi PN dalam menangani masalah COVID-19 dengan berjayanya.

"Jadi Anwar Ibrahim janganlah terdesak tuduh itu ini," jelas Zuraida lagi.