SHAH ALAM: Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong menyifatkan dakwaan bahawa partinya terlibat dalam percubaan menggulingkan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu sebagai mengarut dan tidak berasas.

Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata, dakwaan yang dilaporkan oleh sebuah portal berita pada Isnin itu adalah tidak benar dan pihaknya tidak terlibat dengan gerakan tersebut.

“Namun bagi saya sendiri sebagai Presiden MCA dan parti saya, kami tidak tahu tentang percubaan menggulingkan kerajaan sepertimana yang dilaporkan.

“Kami juga tidak akan menyokong langkah sedemikian yang memerlukan mana-mana ahli Parlimen yang dipilih untuk 'mengorbankan' kerusi mereka untuk memaksa pilihan raya kecil diadakan,” katanya dalam siaran di Facebook rasmi beliau pada Isnin.

Pada Isnin, sebuah laporan portal berita melalui sumber maklumat tanpa nama mendakwa terdapat beberapa ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang mengambil bahagian dalam gerakan untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

Dalam pada itu, ujar Ka Siong, pihaknya memandang serius mengenai dakwaan tersebut dan media sepatutnya melaporkan berita berdasarkan fakta serta maklumat yang telah disemak.

“Sebuah portal berita yang bersandarkan kepada sumber maklumat tanpa nama dilihat cuba mengarang berita kononnya ada gerakan untuk menggugat kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ini perbuatan yang keji dan patut dikecam. Saya menganggap laporan ini mengarut dan juga tidak berasas.

“Apakah logik kita hendak menyokong ahli Parlimen yang telah menang dan dipilih oleh rakyat, kemudian kita buat satu percubaan untuk kita memaksa satu pilihan raya kecil (PRK) ataupun seseorang itu meletak jawatan untuk membolehkan PRK diadakan?” soalnya.

Menurutnya, keutamaan pihaknya pada ketika ini adalah memberi fokus dalam usaha memulihkan ekonomi serta memperjuangkan kepentingan rakyat.

“Keutamaan sekarang ialah menyokong dasar dan strategi ke arah pemulihan ekonomi negara melalui kestabilan politik mengikut kehendak rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” ujarnya.

- Sinar Harian