MELAKA: Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin, menafikan dakwaan kononnya terlibat dengan skandal rasuah seks seperti ditularkan baru-baru ini.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka sebaliknya, mendedahkan cubaan menggugat karier politiknya itu telah bermula ketika Pemilihan UMNO Mac lalu lagi.

Rais berkata, fitnah yang dilemparkan kepadanya termasuk tangkap layar perbualan palsu yang sengaja direka membuktikan ada pihak tidak bertanggungjawab berniat untuk ‘membunuh’ karier politiknya.

Ujarnya, beliau kini sedang meneliti bentuk tindakan kepada pihak yang menyebarkan fitnah berkenaan.

"Saya sedang meneliti dan melihat ruang mana (tindakan) yang ingin saya ambil... yang mereka cipta ini saya tidaklah menyebut mana-mana nama individu.

“Saya sedang meneliti bentuk tindakan yang ingin saya ambil (terhadap) mereka yang mereka cipta (fitnah), dan mereka mesti buktikan apa yang disebarkan itu.

“Pada saya sebagai orang politik saya ada cara untuk pertahankan diri dan dalam masa sama saya tidak mahu sesekali rakyat diheret dalam isu-isu seperti ini.

“Apabila benda ini tular saya sedikit terperanjat tetapi kerana (fitnah) ini telah pun dilalui ketika tempoh Pemilihan UMNO tempoh hari, saya boleh bersabar dan teruskan kerja-kerja saya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau Pasar Besar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Bachang pada Khamis.

BACA: Skandal rasuah seks exco: 'Itu permainan musuh politik' - Ab Rauf

Ditanya adakah beliau akan membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput itu berkata beliau tidak akan melakukannya.

Ini kerana katanya, dia berada di pihak yang dituduh dan seharusnya pihak yang menuduh membuat laporan polis dan serahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan.

Malah katanya, dia juga bersedia dipanggil untuk membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan terdapat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang turut membuat laporan berhubung perkara itu kepada agensi berkenaan.

Terdahulu, seorang aktivitis politik membuat dakwaan di laman Facebook miliknya kononnya seorang Exco Melaka terlibat dengan rasuah seks menerusi tangkap layar di aplikasi WhatsApp.