SHAH ALAM: Dakwaan transaksi berjumlah RM9.5 juta yang mengaitkan individu dikenali sebagai “R” perlu ditangani berasaskan fakta dan melalui saluran yang betul.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad berkata, dakwaan berkenaan setakat ini dilihat masih bersifat umum tanpa disertakan bukti kukuh, selain hanya merujuk kepada individu yang tidak dikenal pasti secara jelas.
Advertisement
Beliau yang lebih dikenali dengan nama Altimet memberitahu, setiap tuduhan serius perlu disokong dengan fakta serta disalurkan kepada pihak berkuasa bagi membolehkan siasatan dijalankan secara profesional dan telus.
"Kita kekal berpegang kepada prinsip ketelusan, akauntabiliti dan kedaulatan undang-undang.
"Tiada mana-mana individu yang akan dilindungi sekiranya terdapat bukti salah laku dan pada masa yang sama, tiada pihak harus dihukum melalui persepsi atau spekulasi tanpa asas yang sah," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya itu, jika mana-mana pihak ada bukti kukuh salah laku kepimpinan ahli harus terus melaporkan kepada pihak berkuasa yang berkaitan untuk siasatan secara profesional, bebas dan menyeluruh bagi memastikan kebenaran dapat ditegakkan dengan segera.
Beliau menyifatkan, pendekatan terbabit penting bagi mengekalkan keyakinan rakyat serta pelabur terhadap kestabilan politik dan tadbir urus negara.
"Saya juga berpandangan kepada semua pihak, termasuk masyarakat dan pengamal media, untuk mengamalkan sikap bertanggungjawab dalam menyebarkan maklumat," ujarnya lagi.
Tegasnya, penyebaran dakwaan tanpa pengesahan bukan sahaja boleh mengelirukan rakyat, malah berpotensi menjejaskan keharmonian serta reputasi institusi negara.
Tambah Altimet, fokus utama kerajaan ketika ini kekal kepada usaha memperkukuh ekonomi, menarik pelaburan serta memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara di sebalik krisis dunia yang sedang berlaku.
Justeru, Ketua Cabang Ampang itu berpandangan, sebarang percubaan untuk mengalih perhatian melalui naratif tidak berasas harus ditangani dengan bijaksana dan berlandaskan fakta.
Altimet turut menegaskan, kerajaan komited untuk memastikan kebenaran ditegakkan dan keadilan dilaksanakan tanpa rasa takut atau pilih kasih. - Sinar Harian