KUALA LUMPUR : Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak pernah menerima sumbangan dana politik berjumlah RM1.3 juta seperti yang didakwa baru-baru ini.

Bekas Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sekiranya perkara itu berlaku ia sepatutnya dimaklumkan kepada bendahari parti.

Dr Mahathir, bagaimanapun berkata, ia hanya boleh disahkan sendiri oleh presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Undang-undang dasar kita (Bersatu) ialah apabila terima wang derma dari mana-mana pihak hendaklah diserah kepada tabung yang kita wujudkan.

“Setakat yang saya tahu, Bersatu tidak terimalah RM1.3 juta... jadi sama ada Muhyiddin terima atau tidak itu saya tidak berani nak katalah.

“Nampak ada tuduhan yang dia terima dan ada penafian yang dibuat, jadi hanya Muhyiddin yang boleh tentukan (sahkan) kerana kami tidak dapat maklumat,” katanya ketika sidang media Program Aku Melayu di Kuala Lumpur pada Ahad.

Baru-baru ini, nama Muhyiddin disebut dalam perbicaraan kes rasuah membabitkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung penerimaan dana berjumlah RM1.3 juta yang diperoleh daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) pada 2018.

Muhyiddin kemudian dalam satu kenyataan menafikan dakwaan tersebut sebaliknya menyatakan ia merupakan tuduhan palsu.

Malah Ahli Parlimen Pagoh itu juga menyatakan, beliau berada di luar negara dan sedang menjalani rawatan kesihatan ketika tempoh yang diperkatakan berkenaan.

BACA: Kes rasuah Zahid: Muhyiddin ada terima dana politik RM1.3 juta dari UKSB

BACA: 
Muhyiddin nafi terima dana politik RM1.3 juta, sifatkan dakwaan palsu       

Selain Muhyiddin, terdapat nama-nama ahli politik lain yang turut disebut terdiri daripada Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Anifah Aman.

Dalam pada itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuka kertas siasatan terhadap penama-penama yang dikatakan telah menerima wang seperti disebut oleh saksi dalam perbicaraan kes rasuah membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

SPRM juga mengesahkan telah menerima beberapa aduan terhadap individu-individu terlibat yang tersenarai dalam satu lejar seperti dikemukakan di mahkamah dalam perbicaraan berkenaan.