KUALA LUMPUR: DAP menyarankan agar peruntukan pembangunan kawasan diberikan secara sama rata kepada semua wakil rakyat tanpa mengira parti politik.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, prinsip itu bukan sahaja wajar dilaksanakan di peringkat Persekutuan, malah diperluaskan kepada semua kerajaan negeri.
“Peruntukan pembangunan kawasan harus diberikan secara sama rata tanpa mengira latar belakang parti politik wakil rakyat yang dipilih,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, perkara itu antara ketetapan yang dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP semalam.
Katanya, CEC turut meminta Kerajaan Negeri Pulau Pinang pimpinan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow menggubal Enakmen Dana Pembangunan Kawasan (Constituency Development Fund).
“Ia bagi menjamin layanan yang adil dan sama rata kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang tanpa mengira parti politik yang diwakili.
“Pemberian peruntukan pembangunan kawasan secara sama rata dapat dijamin melalui perundangan,” katanya lagi.
Dalam perkembangan berasingan, mesyuarat itu turut membincangkan persiapan DAP menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Sarawak.
Anthony berkata, parti itu akan berusaha mempertahankan semua kerusi yang disandangnya, selain mengenal pasti kerusi lain yang berpotensi untuk ditandingi.