SHAH ALAM: DAP perlu mengutamakan semangat perpaduan dalam kepelbagaian kaum di negara ini seperti yang dilakukan Barisan Nasional (BN) ketika memegang tampuk kerajaan suatu masa dahulu.

Justeru Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong menasihatkan DAP untuk mencontohi BN sekali gus menunjukkan teladan baik dalam menjaga hati semua pihak.

"Perpaduan negara yang terbina selama ini oleh kerajaan BN perlu dipertahankan demi kesejahteraan rakyat dan negara.

"Sudah-sudahlah bermain dengan isu sensitif, jika ada perkara yang hendak dibangkitkan dan ikhlas, gunalah saluran yang betul iaitu secara tertutup.

"Tambahan pula DAP kini berada dalam Kabinet kerajaan," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini tindakan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham yang mencadangkan kerajaan melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam menimbulkan pelbagai reaksi terutama daripada UMNO dan pembangkang.

Dalam pada itu Choo Seong berkata, DAP seharusnya memberi fokus terhadap usaha menambah baik urusan pentadbiran negara dan menjaga kebajikan rakyat selaras hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini kerana, menurutnya, kebelakangan ini parti pimpinan Lim Guan Eng itu dilihat semakin berani mengeluarkan kenyataan sensitif yang boleh menggugat keamanan serta keharmonian awam, khususnya berkaitan agama, bangsa dan institusi raja (3R).

"Apakah DAP mahu mengatakan tiada orang Islam yang arif dan bijak berhubung perundangan syariah.

"Setelah lebih enam dekad Malaysia Merdeka, adakah Koo Ham tidak faham Perlembagaan Persekutuan yang mana undang-undang syariah hanya terpakai kepada orang Islam.

"Sampai bila DAP mahu menduga kesabaran serta mencabar sensitiviti kaum dan agama yang hanya akan membawa lebih banyak musibah daripada kebaikan," ujarnya. -Sinar Harian