Naib Presiden MIC, Datuk Jaspal Singh membidas laporan negatif media berhubung dana parti tersebut termasuk untuk Pilihan Raya Umum 2013.

Bekas Bendahari Agung MIC itu berkata semua derma dan sumbangan yang parti itu terima pada 2013 diperakui sepenuhnya.

"Derma dan sumbangan dengan segera dimasukkan ke dalam akaun bank MIC. Laporan dalam akhbar sejak beberapa hari lalu yang mendakwa 'beg-beg duit diterima' hanya rekaan semata-mata.

"Keseluruhan proses menerima dan mengedarkan dana dilakukan secara paling telus dan jujur," katanya kepada Bernama pada Ahad.

Beliau diminta mengulas dakwaan media Tamil baru-baru ini terhadap Jaspal dan parti itu berhubung dana MIC yang diberikan untuk Pilihan Raya Umum 2013 oleh Barisan Nasional.

Jaspal dilantik sebagai Bendahari Agung MIC pada 2009 di bawah kepimpinan Datuk Seri G.Palanivel dan melepaskan jawatan tersebut pada Disember 2013.

Senator tersebut menegaskan bahawa semasa beliau memegang jawatan bendahari agung, beliau memastikan semua soal kewangan dikendalikan secara paling telus dan jujur dan menambah perolehan sumber dana merupakan tanggungjawab khusus pihak presiden.

Beliau menjelaskan bahawa pada 2013, Palanivel melaksanakan tugasnya untuk memperoleh dana melalui derma dan sumbangan yang ia digunakan untuk penganjuran program parti, menggerakkan jentera parti untuk pilihan raya umum, melaksanakan pelbagai projek komuniti, program kebajikan kepada pihak yang memerlukan serta menghulurkan sumbangan kepada pertubuhan bukan kerajaan akar umbi.

"Tambahan pula, akaun 2013 diaudit sepenuhnya dan diserahkan kepada Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) yang dipengerusikan presiden pada 27 Nov 2014 oleh bendahari agung ketika itu S. Murugesan.

"Akaun yang diaudit ini dijangka dibentangkan pada AGM (mesyuarat agung tahunan) MIC pada 13 Dis 2014," kata Jaspal.

Beliau berkata beliau merasa kecewa kerana sesetengah pihak termasuk yang bukan anggota parti cuba menimbulkan perbalahan dalam MIC dengan menyebarkan perkara tidak benar, khabar angin dan pembohongan.