TAIPING: Desakan demi desakan supaya enam Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyokong Perdana Menteri supaya meletakkan jawatan dilihat sebagai mengganggu tugas mereka selaku wakil rakyat.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abu Fasal berkata, beberapa siri kenyataan sejak 16 Februari lalu terutama oleh Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris adalah tidak wajar dan memberi gambaran negatif kepada rakyat.

Beliau berpendapat, mengikut lunas undang-undang, kesemua Ahli Parlimen itu masih sah menjalankan tugas kerana tidak pernah dilucutkan jawatan.

"Saya tak kisah apa keputusan yang dibuat (oleh parti) cuma kenyataan-kenyataan Ketua Penerangan Bersatu seolah-olah sambung menyambung seolah-olah mengugut, menghalang dan menyusahkan ahli-ahli Parlimen kami untuk menjalankan tugas.

"Semua kenyataan dikeluarkan tidak berperlembagaan, tidak mengikut peraturan dan berbentuk hasutan yang menghalang kami Ahli Parlimen yang ada ‘locus standi’ diberikan oleh perlembagaan," katanya ketika ditemui melawat rumah penduduk ditimpa pokok di Kampung Sungai Lubok, Trong di sini pada Ahad.

Syed Abu Hussin berkata, parti sepatutnya bertindak mengikut proses dan peraturan yang ditetapkan, bukan membuat keputusan menerusi kenyataan-kenyataan akhbar.

Beliau turut bertegas tidak akan tunduk dengan sebarang desakan untuk meletakkan jawatan selagi tiada keputusan rasmi diterima mengenai perkara tersebut.

"Jika Parlimen sudah menyatakan bahawasanya saya hilang hak, saya patuh. Tapi sekarang saya masih lagi ada hak, masih lagi Ahli Parlimen, masih dapat elaun.

"Kenapa ada pihak  yang hendak menghalang dan menghasut rakyat membantah kami sebagai Ahli Parlimen? Itu tidak berperlembagaan. Ini yang saya tidak puas hati," tegasnya.

Dalam pada itu, Syed Abu Hussin turut mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang kerana mengganggu tugas Ahli Parlimen merupakan suatu kesalahan.

Menurutnya, sehingga kini tiada sebarang surat diterima daripada Bersatu mengenai statusnya sebagai wakil rakyat.

Pada 12 April lalu, Razali dalam satu kenyataan berkata, keahlian wakil rakyat Bersatu yang menyatakan sokongan terhadap pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, tergugur dan perlu mengosongkan kerusi kawasan masing-masing.

Menurutnya, mereka yang terdiri daripada enam ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak perlu menunggu surat pemecatan, sebaliknya keahlian tergugur selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) meluluskan usul pindaan Perlembagaan parti berkenaan.

Selain Syed Abu Hussin, lima lagi Ahli Parlimen yang mengisytiharkan sokongan terhadap Anwar ialah Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Zulkafperi Hanapi; Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman.

ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari turut mengumumkan memberi sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada Mac lalu.