KUALA LUMPUR: Empat Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar memohon untuk menukar tempat duduk mereka di Dewan Rakyat.

Mereka terdiri daripada Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid; Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman; Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim; dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, surat permohonan berhubung perkara berkenaan diterima pada Khamis dan akan dipertimbangkan untuk tindakan lanjut.

Jelas beliau, tindakan kesemua wakil rakyat pembangkang terlibat yang menyatakan sokongan kepada kerajaan tidak menjejaskan kerusi bagi kawasan itu.

"Tidak beri makna apa-apa... ada yang sokong secara diam-diam, ataupun seperti sekarang ada yang buat secara terbuka.

"Akta itu (Akta Anti Lompat Parti) tak menyekat mana-mana orang (Ahli Parlimen) untuk memberi sokongan sebab itu kerusi tidak hilang.

"Cuma ada yang memohon untuk pindah kerusi (tempat duduk) kerana tak selesa duduk dengan teman yang lama, itu hak saya dan saya boleh ubah. Keputusan belum dibuat," katanya pada sidang akhbar di Parlimen pada Khamis.

Johari berkata, beliau akan melihat aturan dalam Dewan Rakyat sebelum membuat keputusan dengan mengatur pertemuan tidak rasmi selepas Deepavali.

"Seperti Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq (Syed Abdul Rahman), dia tak mahu duduk di sebelah kerajaan dan minta tempat duduk yang 'lebih selesa'.

"Macam keluarga. Dulu mereka tidur di bilik tidur, sekarang mereka nak pindah ke ruang tamu," seloroh Johari.

Sementara itu, Johari berkata kedudukan Syed Saddiq di Dewan Rakyat tidak berubah tidak berubah kerana masih prlu melalui proses rayuan setelah disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas empat pertuduhan rasuah.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian