Sidang Dewan Rakyat hari ini kecoh apabila beberapa wakil rakyat bertikam lidah atas perkataan yang disifatkan sebagai "tidak senonoh" oleh Timbalan Menteri Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Situasi itu tercetus apabila Tajuddin (BN-Pasir Salak) menyebut bahawa Teresa Kok (DAP-Seputeh) adalah satu-satunya wanita yang mempunyai 'kok' di Dewan Rakyat.

Kenyataan itu dikeluarkan ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) mengenai usaha kerajaan bagi memartabatkan pengeluaran padi tempatan agar lebih bermutu daripada padi import.

Sebelum menjawab soalan berkenaan, Tajuddin menyimpang dan menyifatkan himpunan mengganggu orang awam berikutan polis terpaksa menutup jalan, sebelum Timbalan Speaker Datuk Roland Kiandee meminta Tajuddin agar menjawab soalan tambahan.

Tajuddin seterusnya menegur Teresa, "Seputeh kekeke (ketawa) kenapa? Satu-satunya wanita yang mempunyai "Kok" adalah di Parlimen Seputeh," ujarnya.

Kenyataan itu lantas mengundang reaksi dan kemarahan beberapa ahli parlimen pembangkang yang bangkit untuk menegur tindakan Tajuddin dan mendesak supaya Timbalan Speaker mengambil tindakan dan meminta Tajuddin menarik balik kenyataan berkenaan.

Namun tiada tindakan diambil ke atas wakil rakyat itu atas dasar perkataan 'kok' merujuk kepada nama keluarga Teresa.

Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, Khalid Abdul Samad (Amanah-Shah Alam) kemudian bangun dan memanggil Tajuddin 'sial'.

Ia berbalas dengan Tajuddin mencabar Khalid agar keluar untuk 'menyelesaikan' perkara itu secara bersemuka dan menggunakan perkataan 'sial' di luar parlimen jika berani.

Tajuddin kemudian keluar meninggalkan Dewan Rakyat tanpa menjawab soalan tambahan berkenaan.