SANDAKAN: Pernah dipinggirkan tiga kali daripada jawatankuasa DAP Sabah selain hampir tidak diberikan watikah pelantikan sebagai calon pilihan raya negeri (PRN) dua tahun lalu.

Perkara-perkara berkenaan akhirnya menyebabkan bekas ahli DAP Sabah, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura, Sandakan, Calvin Chong Ket Kiun keluar daripada parti terbabit.

“Saya bukan ahli pertama yang keluar parti dan saya tidak terniat mahu keluar parti ini sebelum ini. Saya berjuang untuk parti ini lebih sepuluh tahun sejak tahun 2012. Tetapi, saya yang kena pinggir atau ‘dibuang’ sebanyak empat kali. Kali pertama ketika pemilihan jawatan kuasa DAP Sabah 2016 dan seterusnya ketika pemilihan tahun 2018.

“Kemudian kali ketiga pada tahun 2020 ketika pilihan raya negeri (PRN) Sabah, pada awalnya saya tidak diberikan watikah pelantikan sebagai calon. Akhirnya, kepimpinan DAP berikan watikah. Tetapi pada pemilihan tahun lalu, saya sekali lagi tidak dipilih sebagai jawatan kuasa negeri,” katanya yang berat hati meninggalkan parti itu.

BACA: Dua ADUN DAP, bekas senator umum keluar parti

BACA: DAP Sabah dilihat tertekan dengan krisis keyakinan - Bung Moktar

Menurutnya, walaupun pernah dipinggrkan beberapa kali dia tetap berjuang untuk DAP Sabah.

Malah, selepas tidak memiliki jawatan di peringkat kepimpinan DAP Sabah tahun lalu, dia tidak pernah dihubungi atau dipanggil menyertai sebarang program DAP Sabah.

Calvin berkata, perkara itu (keluar parti) sudah dibincangkan dengan jawatankuasa DAP Elopura.

Selain itu, Calvin menjelaskan dia kekal sebagai ADUN Bebas dan tidak menyokong mana-mana pihak buat masa ini.

"Saya belum ada terfikir menyertai parti lain dan sekarang saya masih bebas , bukan pro kerajaan, bukan pro pembangkang," katanya.

Terdahulu, Calvin bersama ADUN Sri Tanjong Justin Wong Yung Bin dan bekas senator, Adrian Lasimbang  dalam satu kenyataan bersama mengumumkan untuk keluar parti terbabit serta-merta.

Keluar Parti | Dua ADUN DAP Sabah, Senator umum keluar parti

Susulan tindakan yang diambil dua ADUN berkenaan, DAP Sabah kini hanya mempunyai empat ADUN iaitu Frankie (Tanjong Papat), Phoong Jin Zhe (Luyang), Jannie Lasimbang (Kapayan) dan Tan Lee Fatt (Likas).

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah September 2020, DAP Sabah hanya kalah satu kerusi iaitu di Bingkor daripada tujuh kerusi yang ditandinginya.