Skip to main content

Politik

Dr Joachim menang tanpa bertanding jawatan Presiden PBS

KOTA KINABALU, 26 Mei -- Timbalan Ketua Menteri II yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkongsi beberapa pengumuman dan perkembangan terkini berkaitan sambutan pesta itu pada sidang media hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA.
Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam. --fotoBERNAMA
Advertisement

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam menang tanpa bertanding jawatan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) bagi penggal 2026-2029.

Setiausaha Agung PBS Datuk Julita Mojungki berkata Dr Joachim merupakan calon tunggal yang dikemukakan bagi jawatan tertinggi parti itu selepas tempoh pencalonan ditutup pada 31 Julai lepas.

"Mengikut syarat pemilihan parti, seseorang calon perlu memperoleh sekurang-kurangnya tiga pencalonan untuk layak bertanding," katanya dalam kenyataan.

Julita berkata jawatan Timbalan Presiden kuota Bumiputera Bukan Islam dimenangi tanpa bertanding oleh Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Datuk Joniston Bangkuai, sementara jawatan Timbalan Presiden kuota Bumiputera Islam dimenangi tanpa bertanding oleh Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Ruslan Muharram.

Beliau berkata jawatan bagi Timbalan Presiden kuota Cina pula dua calon layak bertanding iaitu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Lo Su Fui dan Ahli Majlis Tertinggi PBS Goon Thien Shang.

Bagi persaingan jawatan Naib Presiden, Julita berkata tiga calon bertanding bagi dua kerusi kuota Bumiputera Bukan Islam, enam calon bagi dua kerusi kuota Bumiputera Islam, manakala lima calon bersaing bagi satu kerusi kuota Cina.

 

Beliau berkata sebanyak 66 calon akan bertanding merebut 16 kerusi Ahli Majlis Tertinggi membabitkan 28 calon bagi kuota Bumiputera Bukan Islam, 23 calon bagi kuota Bumiputera Islam serta 15 calon bagi kuota Cina.

Julita berkata parti itu mencatat rekod menerima sebanyak 79 pencalonan bagi semua jawatan yang dipertandingkan hingga tempoh penutupan pada hari ini, dengan lebih separuh daripada calon merupakan muka baharu.

Kongres PBS bagi memuktamadkan keputusan pemilihan parti berkenaan dijadualkan berlangsung pada September depan.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement