Skip to main content

Politik

Dua lagi pemimpin Bersatu dipecat, dua digantung

81739464331_tbBersatu.jpg
Menurut notis dikeluarkan, dua pemimpin dipecat daripada parti di bawah Fasal 22.5 atas tindakan melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Empat lagi pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dikenakan tindakan disiplin termasuk dua dipecat dan dua digantung keahlian berkuat kuasa serta-merta.

Menerusi notis dikeluarkan Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan pada Isnin, Ketua Armada Bahagian Parit Parti, Wan Meor Safwat Naqiuddin Shamsuddin dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kok Lanas, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi dipecat daripada parti itu.

Menurut notis dikeluarkan, kedua-dua pemimpin itu dipecat daripada parti di bawah Fasal 22.5 atas tindakan melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.

Manakala, Ahli Parlimen Mersing, Muhammad Islahuddin Abas dan ADUN Bukit Bunga, Mohd Almidi Jaafar dikenakan tindakan penggantungan hak keahlian bagi tempoh dua penggal pemilihan Bersatu.

Menurut notis berkenaan, penggantungan itu turut menyebabkan kedua-duanya dilucutkan daripada semua jawatan yang dipegang dalam parti dan tidak dibenarkan mengeluarkan sebarang kenyataan atas nama Bersatu sepanjang tempoh penggantungan.

Kesemua tindakan disiplin itu diputuskan selepas Lembaga Disiplin Bersatu bersidang dan mendapati mereka melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli parti.

Semua individu terbabit bagaimanapun diberi ruang mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan dalam tempoh 14 hari daripada tarikh notis dikeluarkan. - Sinar Harian

 

Must Watch Video