KOTA BHARU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan masih belum menerima sebarang pemakluman daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri Mohd Azizi Abu Naim sama ada beliau masih kekal menyokong kerajaan negeri atau sebaliknya.

Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata kedudukan Mohd Aziz pada sidang DUN Kelantan nanti, sama ada berada di blok kerajaan atau pembangkang juga akan ditentukan kemudian.

"Setakat ini, beliau (Mohd Azizi) tidak beritahu apa-apa kepada kita. Kita masih menunggu dan akan melihat serta mengambil kira keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat di mana kedudukan Mohd Azizi dalam Parlimen," katanya kepada Bernama hari ini.

Mohd Amar turut memaklumkan DUN Kelantan akan bersidang bermula 22 hingga 28 Nov.

Sebanyak 43 daripada 45 kerusi DUN Kelantan dikuasai Pas.

Baki dua kerusi iaitu DUN Galas diwakili Mohd Syahbuddin Hashim daripada Barisan Nasional (BN) dan DUN Kota Lama dimenangi Dr Hafidzah Mustakim daripada Pakatan Harapan (PH).

Semalam, Mohd Azizi daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, Mohd Syahbuddin berkata beliau tidak mempunyai masalah untuk bekerja dengan sesiapa sahaja termasuk Mohd Azizi, namun akan melihat terlebih dahulu pendirian Ketua Bersatu Gua Musang itu.

"Saya nak tengok dulu pendirian beliau, sokong Perdana Menteri itu satu bab dalam masa yang sama apa status beliau di sini, masih menyokong kerajaan negeri tidak?," katanya.

Mohd Syahbuddin turut mengakui terkejut dengan keputusan dibuat Mohd Azizi itu.

"Walau bagaimanapun, saya mengucapkan terima kasih kerana beliau memilih untuk meletakkan kepentingan rakyat Gua Musang sebagai keutamaan kenapa beliau menyokong kepimpinan Perdana Menteri.

"Saya berharap hasrat yang dinyatakan beliau ini benar-benar dilaksanakan kepada rakyat kerana sudah setahun beliau menjadi Ahli Parlimen Gua Musang, tetapi arah usaha di lapangan masih kurang menyerlah," katanya.

-- BERNAMA