Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu berlangsung aman selepas persidangan itu berlangsung tiga jam di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Speaker DUN, Datuk Mohd Zubir Embong menangguhkan persidangan jam 12.30 tengah hari selepas Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman mengemukakan usul penangguhan usai kesemua aturan mesyuarat.

Seramai 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kecuali anggota DUN Rhu Rendang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang tidak hadir berikutan berada di Turki.

BACA: DUN Terengganu mula bersidang, kawalan keselamatan diperketat

Perjalanan persidangan yang berakhir tanpa kejadian yang tidak diingini itu sekaligus menafikan khabar angin kononnya akan berlaku rombakan DUN, lompat parti termasuk usul undi tidak percaya terhadap Ahmad Razif.

Ketika ditemui media selepas persidangan ditangguhkan, Ahmad Razif berkata kemelut politik Terengganu telah berakhir.

"Seperti mana yang saya sebut sebelum ini, insyaAllah saya kena yakin bahawa persidangan ini tidak ada apa-apa permasalahan dan keadaan politik di Terengganu sudah selesai (dan) tidak ada masalah.

"Ada sedikit sebanyak perkara. Yang ini InsyaAllah kita boleh selesaikan. Jadi saya tak nampak ada masalah.

Jelasnya lagi, kerajaan Barisan Nasional (BN) dibawah pentadbiran beliau akan terus memperjuangkan agenda pembangunan rakyat.

"Yang penting sekarang ini kita nak bergerak ke hadapan untuk memastikan bahawa agenda pembangunan rakyat itu perlu diberi keutamaan," katanya.