KUALA LUMPUR: DAP mahu nilai ambang pengecualian e-Invois dinaikkan, selain kuota subsidi RON95 dan diesel khususnya bagi Sabah dan Sarawak dikaji semula.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata perkara itu merupakan antara permintaan akar umbi parti yang dibangkitkan susulan kebimbangan terhadap kos sara hidup rakyat.
“Kita dengar daripada suara akar umbi, meminta supaya nilai ambang pelaksanaan e-Invois ini ditingkatkan supaya tidak dilaksanakan untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
“Ini sesuatu yang kita mahu cuba laksanakan,” katanya pada sidang media selepas Persidangan Kebangsaan DAP di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.
Anthony berkata terdapat juga banyak permintaan supaya kuota RON95 dan diesel, khususnya bagi Sabah dan Sarawak, dilihat semula.
“Semua ini adalah perkara yang mendesak kehidupan rakyat melibatkan kos sara hidup dan kita berhadap ia dibincangkan dan laksanakan secara bersama.
“Saya yakin Perdana Menteri juga amat memahami sentimen rakyat berkenaan kos sara hidup,” katanya.
Menurut Anthony, DAP juga akan membawa aspirasi dan maklum balas daripada akar umbi serta perwakilan kepada kerajaan menerusi saluran Kabinet.
Pada masa sama, beliau mengakui terdapat pandangan kritikal dalam kalangan perwakilan yang mahu kerajaan dan DAP lebih tegas dalam melaksanakan perubahan.
Katanya, pandangan itu dihormati dan akan menjadi antara aspirasi yang dibawa kepimpinan parti selepas menerima mandat untuk terus memainkan peranan dalam kerajaan.
Pada persidangan tersebut, hampir 88 peratus perwakilan mengundi menyokong usul supaya DAP kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal Parlimen.