Ego menjadi punca parti-parti Melayu seperti UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas berebut kuasa sekali gus berdepan nasib buruk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Bagaimanapun Ketua Armada Titiwangsa, Ad Adib Shaharuddin menegaskan, ia boleh dielakkan dengan mengamalkan pendekatan politik sederhana dan berteraskan Islam.

"Perebutan kuasa ini berlaku apabila sesetengah parti mempunyai ego yang tinggi, dia merasakan
parti dia kuat, parti orang lain lemah. Kalau kita mempunyai sifat-sifat pemikiran begitu , bagi saya sampai bila-bila Melayu tidak akan bergabung. Jadi bagi saya, untuk PRU15 akan datang, UMNO, Pas dan Bersatu sendiri harus turunkan ego masing-masing.

"Kita harus membawa satu politik yang sederhana, mendengar pandangan orang lain dan kalau di kawasan itu UMNO yang layak, kita kena terima, kalau kerusi itu Pas yang layak, kita kena terima.

"Jangan kata kalau mungkin ada 50 kuota kerusi, 50 UMNO ambil atau 50 Bersatu yang ambil. Benda itu tidak akan jadi, perkara itu akan memecah-belahkan kita lagi," katanya ketika ditemui di sini, pada Sabtu.

Dalam pada itu, Pengerusi Tetap Srikandi Bersatu Titiwangsa, Datin Ida Harlina Ikhwan Nasir menegaskan, keadaan negara bergantung di tangan parti itu.

Jelasnya, Srikandi kini akan diperkukuhkan dari segi ekonomi, pendekatan sosial yang lebih baik selain yakin kerjasama dengan Perikatan Nasional untuk pembahagian kerusi pada PRU akan datang.

"Maka atas kesedaran dan keinsafan itu, kami ingin menjayakan segala hala tuju kerajaan dan kepimpinan Srikandi yang ada pada hari ini akan terus menggerakkan semua kepimpinan Srikandi di peringkat cawangan, bahagian, negeri dan Malaysia.

"Kita mahu mereka faham hala tuju kerajaan, dasar kerajaan, peluang yang diberi kerajaan dan mereka akan menjadi benteng kepada kerajaan sekiranya berlaku fitnah dan maklumat tidak betul jika disampaikan kepada orang ramai," katanya.

Pemilihan Armada peringkat bahagian berlangsung pada Sabtu dan Srikandi pada Ahad.

Pemilihan itu membabitkan 117 calon bagi jawatan dalam Armada, 85 calon bagi Srikandi dan 187 bagi MPT.

Jawatan itu antaranya melibatkan naib presiden, pengerusi tetap, timbalan pengerusi tetap, ketua sayap, naib ketua sayap dan ahli jawatankuasa.