Skip to main content

Politik

Ewon, Donald kekal teraju UPKO

Sabah, Sarawak boleh jadi 'king maker' tentukan siapa Perdana Menteri - Ewon
Datuk Ewon Benedick kekal menerajui Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) sebagai Presiden bagi penggal 2026-2029, manakala Datuk Donald Peter Mojuntin juga kekal sebagai Timbalan Presiden parti. - Foto Sinar Harian
Advertisement

PENAMPANG: Datuk Ewon Benedick kekal menerajui Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) sebagai Presiden bagi penggal 2026-2029, manakala Datuk Donald Peter Mojuntin juga kekal sebagai Timbalan Presiden parti.

Perkara itu dicapai selepas kedua-dua jawatan berkenaan tidak dipertandingkan pada pemilihan parti bersempena dengan Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO ke-17 di sini, hari ini.

Yang turut dipilih tanpa pertandingan ialah lima Naib Presiden, iaitu Jairaiaz Joseph, Datuk Wong Thien Fook, Datuk Pangiran Lalung, Datuk Basari Sarikun, dan Datuk Dr Laurentius Nayan Ambu.

Ewon ketika menyampaikan ucapan penggulungan persidangan berkenaan berkata beliau menghormati amalan demokrasi serta keputusan yang dibuat para perwakilan dalam pemilihan berkenaan.

“Pemilihan ini seharusnya mengukuhkan parti kita, bukan melemahkan parti. Semua ahli parti kita merupakan keluarga besar UPKO,” katanya yang turut mengucapkan tahniah kepada semua pemimpin yang terpilih dan menyifatkan keputusan pemilihan itu sebagai usaha untuk terus mengukuhkan parti.

Ewon berkata barisan kepimpinan baharu bertanggungjawab menyampaikan resolusi parti kepada pimpinan kerajaan, khususnya Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor selaku Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Pimpinan dan wakil-wakil rakyat UPKO juga akan mengangkat pendirian serta resolusi parti untuk dibawa dalam perbahasan di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.

Dalam perkembangan sama, beberapa sayap UPKO menyaksikan perubahan kepimpinan menerusi proses pemilihan.

Carlye Lajimin dipilih sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UPKO yang baharu, manakala Newbaxter Tibin sebagai Timbalan Ketua.

Carlye sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Pemuda UPKO Pusat, menggantikan Felix Joseph Saang, bagi menerajui pergerakan itu untuk penggal baharu.

Bagi Pergerakan Wanita UPKO pula, Mohina Sidom kekal sebagai Ketua selepas berjaya mempertahankan jawatannya, manakala Lomiti Jahan dipilih sebagai Timbalan Ketua.

Sementara itu, Pergerakan Generasi Muda UPKO turut tampil dengan kepimpinan baharu apabila Emmanuel Atin dipilih sebagai Ketua menggantikan Seheral Linus.

Alison Chan pula dipilih sebagai Timbalan Ketua Generasi Muda menggantikan Russell Flavian.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement