Ewon hadir mesyuarat Kabinet, PM Anwar sahkan tidak terima butiran peletakan jawatan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir untuk menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Quddus, PPAM Saderi, Presint 16 hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengesahkan bahawa beliau tidak menerima sebarang butiran berhubung peletakan jawatan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengesahkan belum menerima sebarang maklumat rasmi mengenai peletakan jawatan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, yang turut hadir mesyuarat Kabinet hari ini.
- Ewon sebelum ini menyatakan kesediaan berundur jika AGC memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengiktiraf hak Sabah untuk 40% hasil Persekutuan.
- Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan kerajaan Persekutuan gagal menunaikan hak Sabah selama hampir lima dekad dan mengarahkan semakan serta persetujuan bersama dalam tempoh 180 hari.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kehadiran Ewon pada mesyuarat Kabinet hari ini serta sama ada beliau telah menerima maklumat rasmi berhubung peletakan jawatan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu.
Terdahulu, media melaporkan bahawa Ewon menyatakan kesediaan untuk meletak jawatan dalam Kabinet sekiranya Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengiktiraf hak Perlembagaan Sabah berhubung 40 peratus hasil Persekutuan.
Presiden UPKO berkata keputusan itu selaras dengan resolusi yang diluluskan Konvensyen UPKO Bahagian Penampang sebelum ini, yang menuntut beliau berundur daripada Kabinet sekiranya AGC meneruskan rayuan tersebut.
Pada 18 Okt lepas, AGC memaklumkan akan meneliti alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung Pemberian Khas Negeri Sabah sebelum mengambil sebarang tindakan susulan.
Menurut kenyataan AGC, mahkamah pada 17 Okt memutuskan bahawa kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah perlu menjalankan satu lagi semakan terhadap Pemberian Khas Negeri Sabah bagi tempoh 1974 hingga 2022.
Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mendapati kerajaan Persekutuan telah bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa Perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan selama hampir lima dekad.
Mahkamah turut mengarahkan semakan dibuat dalam tempoh 90 hari, manakala persetujuan bersama antara kedua-dua kerajaan perlu dicapai dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah dikeluarkan berhubung tuntutan pemberian khas 40 peratus hak Sabah bagi tempoh 1974 hingga 2021.
Arahan tersebut dikeluarkan selepas mahkamah membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) terhadap Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Negeri Sabah berhubung hak perlembagaan negeri itu untuk menuntut 40 peratus daripada hasil bersih yang diperoleh daripada Sabah.
Kes berkenaan tertumpu kepada tafsiran Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan Perkara 112C menyentuh geran khas serta agihan hasil kepada Sabah dan Sarawak, manakala Perkara 112D menetapkan semakan berkala terhadap geran berkenaan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


