Skip to main content

Politik

Exco baharu Negeri Sembilan tekad terjemah amanah, perkasa agenda rakyat

KUALA PILAH, 7 Ogos -- Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan bergambar (dari kanan) Siti Nur Umaira Hasim, Siow Kong Choon, Mohd Fairuz Mohd Isa, Suhaimizan Bizar, Datuk Mustapha Nagoor, Datuk Mohd Faizal Ramli, Datuk Zaifulbahri Idris, Datuk Mohd Razi Mohd Ali, Datuk Razali Abu Samah dan Datuk Mohd Asna Amin selepas Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti hari ini.
Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan bergambar selepas Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti pada Jumaat. - Foto Bernama
Advertisement

SEREMBAN: Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan yang baharu dilantik tekad menterjemahkan amanah dengan memfokuskan kesinambungan program sedia ada, memperkukuh pembangunan rakyat dan memastikan setiap manifesto dilaksanakan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar dan Pembangunan Wilayah Datuk Mohd Faizal Ramli berkata mahu memperkukuh pembangunan dan kebajikan masyarakat luar bandar menerusi kerjasama lebih erat dengan agensi yang berkaitan.

Beliau berkata portfolio itu amanah besar memandangkan beberapa kawasan termasuk Linggi yang diwakilinya, sebahagian besar terdiri daripada kawasan luar bandar yang memerlukan perkhidmatan serta pembangunan yang lebih berkesan.

“Insya-Allah, minggu depan saya akan dapatkan pandangan agensi berkaitan untuk meneruskan dan menambah baik apa jua program yang dirancang. Paling penting kita mahu memperkasakan masyarakat luar bandar, kebajikan serta pembangunan mereka,” katanya.

Mohd Faizal berkata pendekatan berterusan dan kerjasama dengan agensi berkaitan penting bagi memastikan setiap perancangan pembangunan desa benar-benar memberikan manfaat kepada masyarakat setempat.

Image
KUALA PILAH, 7 Ogos -- Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan menyampaikan watikah pelantikan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan bagi penggal baharu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Linggi Datuk Mohd Faizal Ramli pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan menyampaikan watikah pelantikan sebagai Exco kepada Mohd Faizal Ramli pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti pada Jumaat.
 - Foto Bernama

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Datuk Razali Abu Samah berkata akan menilai semula dan menambah baik sasaran prestasi bagi memperkasakan dan memastikan  agenda pelancongan negeri mencapai matlamat ditetapkan.

Senada ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Hal Ehwal Bukan Islam Siow Kong Choon yang juga memberikan komitmen untuk memastikan manifesto yang merangkumi semua lapisan masyarakat dilaksanakan.

Menyifatkan pelantikan itu sebagai amanah besar, beliau yakin kerjasama seluruh barisan Exco di bawah kepimpinan Menteri Besar Datuk Ismail Lasim membolehkan janji kepada rakyat diterjemahkan menerusi dasar dan program kerajaan negeri.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan Datuk Mustapha Nagoor yang kembali diberi kepercayaan untuk memegang portfolio itu mahu meneruskan perancangan sebelum ini dengan tumpuan segera kepada persiapan kontinjen Negeri Sembilan menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) bulan ini.

“Saya memang berharap jika boleh diberikan portfolio yang sama kerana banyak perkara sudah dirancang. SUKMA juga sudah dekat dan saya akan memanggil Pengarah Majlis Sukan Negeri sebaik sahaja masuk pejabat untuk mendapatkan laporan dan membuat persiapan akhir,” katanya.

Semalam, kesemua 10 Exco mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah di sini.

Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 menyaksikan Barisan Nasional (BN) berjaya memperoleh 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Perikatan Nasional (PN) mendapat tujuh kerusi yang membolehkan dua gabungan itu membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement