POLITICS
Fadhlina harap kepimpinan baharu Wanita PKR mampu terjemah semangat 'Kita Keadilan'

Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Fadhlina Sidek berharap kepimpinan baharu sayap itu mampu menterjemah semangat 'Kita Keadilan' yang diperjuangkan parti. - Foto Facebook Fadhlina Sidek
JOHOR BAHRU: Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Fadhlina Sidek berharap kepimpinan baharu sayap itu mampu menterjemah semangat 'Kita Keadilan' yang diperjuangkan parti.
Menteri Pendidikan itu berkata kepimpinan baharu juga perlu menyelesaikan segala salah faham dan buruk sangka antara satu sama lain di dalam PKR demi kelangsungan parti.
"Kehadapan ini, fokusnya adalah memperkukuh parti dan memperteguh ideologi... beri tumpuan terhadap program serta aktivisme dalam parti.
"Insya-Allah, siapa pun yang dilantik, kita harap meneruskan program-program dan berikan sentuhan yang lebih baik daripada apa yang kita ada termasuk melihat semula modul-modul SWAN (Sekolah Wanita Keadilan), begitu juga dengan program-program MADANI yang memberi impak cukup besar kepada rakyat," katanya.Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Kongres Nasional Tahunan Wanita PKR Ke-18 Tahun 2025 di Pusat Konvensyen Danga Bay di sini hari ini.
Ahli Parlimen Nibong Tebal itu juga berharap kepimpinan baharu memberikan tumpuan sepenuhnya dalam mempersiapkan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang.
"Kepimpinan baharu perlu diberikan masa dan tumpuan kerana kita ada masa yang sangat-sangat penting untuk membina parti sebelum masuk pilihan raya," katanya.
Fadhlina, yang mempertahankan jawatan Ketua Wanita pada pemilihan kali ini, turut menzahirkan penghargaan kepada semua perwakilan dan barisan kepimpinan yang telah banyak membantu beliau ketika menerajui sayap itu.
Pemilihan Ketua Wanita menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Fadhlina dengan Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami