Pemimpin dan ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu berhenti mengganggu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam usaha beliau meneruskan khidmat kepada rakyat sebagai Ahli Parlimen Bandar Tun Razak (BTR) dan ADUN Pelabuhan Klang.

Demikian menurut kenyataan media daripada Pegawai Khas Khalid, Faekah Husin berikutan kenyataan ahli PKR cabang BTR yang mahukan Khalid melepaskan kerusinya di situ.

“Saya menggesa pimpinan PKR di semua peringkat, khususnya di BTR, supaya menghentikan sikap rakus dan jahat mereka terhadap Khalid.

"Tidak cukupkah dengan tohmahan jahat selama ini, diikuti pula dengan pemecatan beliau dari parti hingga membawa kepada Khalid melepaskan jawatan MB Selangor?

"Tidak cukup dengan itu, kerajaan Selangor pimpinan PKR telah menghentikan peruntukan Ahli Dewan Khalid di Pelabuhan Klang dan dua pegawai DUN dipecat walau masih mempunyai kontrak dengan kerajaan negeri,” kata Faekah.

Dalam kenyataan yang sama, Faekah memberitahu bahawa bekas Menteri Besar Selangor itu telah turun ke BTR dan Pelabuhan Kelang selepas dua minggu berehat bagi meneruskan khidmat kepada rakyat yang telah memilih beliau melalui proses pilihan raya yang sah.

“Alhamdulillah, ramai telah menawarkan khidmat bantuan dan kesediaan untuk bersama Khalid bagi memastikan kebajikan rakyat tidak terabai.

"Rakyat hari ini mampu melihat keikhlasan seseorang pemimpin dalam melakukan sesuatu mahupun tatkala mengungkapkan kata-kata.

"Di BTR, beliau telah pun membuka pusat khidmat rakyat dan sebuah pejabat baharu di Bukit Tinggi,” jelasnya.

Tegas Faekah, tindakan PKR memecat Khalid tidak akan menghalang beliau untuk terus bersama rakyat.

Malah Khalid pada 15 November ini akan memulakan aktiviti "Sajian Rakyat" - satu NGO yang akan menyediakan makanan kepada komuniti setempat sebagai platform untuk bertemu dengan rakyat.

Faekah dalam kenyataannya turut mempersoalkan dalil yang mengandungi salah laku Khalid yang sebelum ini dikatakan akan dikeluarkan oleh PKR.

“Setelah hampir dua bulan disingkirkan, tidak ada satu pertuduhan dan bukti pun yang mampu dimajukan oleh PKR atau pihak berkuasa. Dalil puluhan muka surat yang dahulu kononnya mengandungi salahlaku Khalid kini terus dilupakan setelah beliau disingkirkan” katanya.

Faekah turut memberi reaksi tindakan MB Selangor yang baharu, Azmin Ali yang baru-baru ini mahu penstrukturan semula air dipercepatkan dan mengumumkan projek lebuh raya Kinrara-Damansara (Kidex) akan diteruskan kerana mampu memperbaiki keadaan lalu lintas.

“Kita masih ingat antara tuduhan ke atas Khallid adalah isu penstrukturan air yang dikatakan mempunyai agenda dengan UMNO serta projek KIDEX yang memberi konsesi kepada peguam UMNO.

"Rakyat kini terpinga-pinga bagaimana dalam sekelip mata isu besar yang digembar-gemburkan tersebut berkubur dan semua keputusan yang diambil Khalid semasa menjadi MB diakui secara senyap dan tanpa rasa malu oleh PKR,” kata Faekah.