Forum: Tokoh akademik cadang Pulau Pinang dijadikan Wilayah Khas Kedah

Ahmad Murad (gambar) berpendapat cadangan itu menyerupai model Hong Kong sebagai wilayah pentadbiran khas di bawah China. - Foto FB Ahmad Murad Merican
BANGI: Seorang tokoh akademik mencadangkan agar Pulau Pinang dijadikan sebagai Wilayah Khas Kedah dengan mengekalkan struktur institusi, ekonomi dan politik negeri itu, namun diletakkan di bawah pentadbiran negeri itu.
Ringkasan AI
- Cadangan untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai Wilayah Khas Kedah dengan mengekalkan struktur institusi, ekonomi, dan politik negeri tersebut di bawah pentadbiran Kedah.
- Prof Datuk Ahmad Murad Merican mencadangkan model seperti Hong Kong, di mana Pulau Pinang akan mempertahankan autonomi tertentu tetapi tetap di bawah pemerintahan Pusat.
- Tokoh akademik itu turut mencadangkan penubuhan tribunal oleh Peguam Negara untuk merungkai polemik mengenai status Pulau Pinang yang pernah menjadi sebahagian daripada wilayah Kedah sebelum 1786.
Cadangan tersebut dikemukakan sebagai respons polemik mengenai kedudukan status Pulau Pinang yang pernah menjadi sebahagian wilayah Kedah sebelum 1786.
Selain itu, Ahmad Murad turut mencadangkan agar Pulau Pinang dijadikan sebahagian daripada negeri di bawah Wilayah Persekutuan atau memasukkan lima daerah Pulau Pinang ke dalam daerah Kedah.
“Tiga cadangan ini yang boleh dipertimbangkan jika mahu bergerak ke arah menutup isu dan mencari penyelesaian,” katanya.
Tokoh daripada Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa itu turut menegaskan pandangannya bahawa Pulau Pinang adalah sebahagian daripada Kedah dan tidak pernah ada pemisahan antara kedua-dua negeri itu.
Pada masa sama, beliau turut menyarankan agar sebuah tribunal yang diketuai oleh Peguam Negara ditubuhkan bertujuan mengumpul suara dan pendapat mengenai polemik ini.
Beliau mengambil contoh Tribunal Waitangi yang digerakkan oleh Orang Asli suku Maori di New Zealand untuk merungkai perjanjian antara masyarakat asal dan kaum Inggeris.
“Satu mekanisme yang lebih harmoni dan tidak adversarial (konfrontasi) ialah penubuhan tribunal,” katanya.
Pada 22 November, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi, dilaporkan berkata Kerajaan Negeri sedang menunggu pasukan peguam menyempurnakan proses teknikal berkaitan tuntutan terhadap Pulau Pinang termasuk meneliti dokumen serta menentukan bentuk 'relief' atau tuntutan munasabah.
Tindakan Sanusi itu merupakan langkah susulan daripada titah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada 2023 yang mahu isu pajakan dan kedudukan Pulau Pinang dijelaskan secara telus.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


