TANGGA BATU: Timbalan Speaker Dewan Negara, Datuk Seri Mohamad Ali Mohammad menggesa Ketua Pegawai Eksekutif, Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Abd Rashid Ab Rahman untuk meletakkan jawatan.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Cikgu Ali berkata, masalah gangguan bekalan air sering berlaku di beberapa kampung di kawasan Tangga Batu sehingga menyusahkan masyarakat setempat.

“Saya ingin membuat satu kenyataan tegas kepada Syarikat Air Melaka ekoran gangguan bekalan air yang sering melanda masyarakat, kami kesal kerana mereka (SAMB) seolah-olah tidak bertindak dalam mengatasi masalah ini dengan kadar segera dan baik.

“Kejadian (gangguan bekalan air) ini telah banyak kali berlaku dan amat menyusahkan masyarakat terutama golongan tua (uzur), kurang upaya dan kanak-kanak,” katanya pada Jumaat.

Terdahulu Mohamad yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu mengadakan lawatan ke beberapa rumah penduduk kampung yang terlibat dengan masalah gangguan bekalan air.

Menurut Mohamad lagi, pihaknya turut menerima aduan bekalan air yang diterima masyarakat setempat adakalanya tidak bersih sehingga ada yang terpaksa membeli air mineral untuk kegunaan seharian.

Ketika mengulas lanjut Mohamad berkata, adalah sangat tidak bertanggungjawab apabila masalah yang telah melanda sejak sekian lama itu tidak dapat di selesaikan dengan segara.

“Mana tanggungjawab kamu (SAMB) dalam mengurus bagi memastikan masyarakat di kawasan ini mendapat air yang bersih, negara dah berada di zaman 2020 tidak ada sebab masyarakat perlu menderita dengan nasib yang tidak baik bagi mendapatkan bekalan air bersih.

“Kalau CEO masih gagal bertindak dalam masa terdekat saya minta beliau meletak jawatan kerana tidak bertanggungjawab kepada masyarakat. Saya nak ingatkan bila kita pegang jawatan bukan bermaksud boleh duduk berehat dan berseronok kerana jawatan itu merupakan amanah dan tanggungjawab,” tegasnya.

Beliau turut menegaskan akan meminta seluruh masyarakat di kampung-kampung yang terlibat untuk menandatanggani bantahan agar Abd Rashid meletak jawatan agar masalah yang sama tidak berulang di masa hadapan.

Antara kampung yang terlibat dengan gangguan bekalan air adalah Kg Pantai Rombang, Kg Bukit Darat, Kg Pengkalan Perigi.