Skip to main content

Politik

Gagasan 'Rumah Bangsa' bantu pulihkan perpecahan politik Melayu - Pemuda UMNO Johor

Sumber: Noor Azleen Ambros
Noor Azleen berkata gagasan 'Rumah Bangsa' sangat penting ketika landskap politik Melayu pada waktu ini berdepan perpecahan. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO Johor melihat pendirian Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang membuka ruang penyatuan tanpa syarat kepada bekas ahli parti sebagai langkah memperkukuh perpaduan orang Melayu.

Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata penyatuan bangsa sangat penting ketika landskap politik Melayu pada waktu ini berdepan perpecahan.

Advertisement

Malah menurutnya, gagasan 'Rumah Bangsa' mampu menjadi formula penting untuk mengembalikan keyakinan orang Melayu terhadap UMNO.

"Kemerosotan sokongan serta krisis keyakinan sebahagian besar orang Melayu terhadap UMNO tidak lagi boleh dibiarkan berterusan.

"Semangat penyatuan 'Rumah Bangsa' ini juga bertepatan dengan roh Ramadan yang mengajak umat Islam bermuhasabah, saling bermaafan dan memperbaiki hubungan dalam keluarga besar parti.

"Orang Melayu diharap dapat menilai usaha penyatuan melalui konsep Rumah Bangsa dengan hati yang terbuka sebagai peluang memperkukuh kembali hubungan antara UMNO dan masyarakat Melayu," ujar Noor Azleen menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Jelasnya lagi, UMNO sewajarnya diberikan peluang untuk kembali menyatupadukan bangsa, sekali gus mengembalikan parti itu ke pangkuan orang Melayu yang menjadi asas kekuatannya sejak dahulu.

Tegas Noor Azleen lagi, Pemuda UMNO Johor harus komited memainkan peranan aktif di peringkat akar umbi bagi memperkukuh usaha penyatuan berkenaan.

Sebelum ini pada Jumaat, Ahmad Zahid membuka pintu penyatuan tanpa syarat bagi mengajak bekas ahli yang pernah dipecat, digantung keahliannya untuk kembali menyertai perjuangan parti.

Tegasnya, bulan Ramadan ini merupakan waktu terbaik untuk memperkukuh tali ukhuwah dan mempertautkan kembali semangat perjuangan parti.

Must Watch Video