Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) Khairy Jamaluddin berpuas hati dengan pencapaian jenteranya sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh yang berakhir hari ini.

Beliau berkata gerak kerja dan program penerangan berterusan Pemuda BN dilihat memberi impak positif dan dijangka membawa 'angin perubahan' kepada BN menerusi pemilihan calonnya Suhaimi Sabudin oleh kalangan pengundi muda.

"Prestasi jentera Pemuda BN amat baik, kerana sejak awal (tempoh berkempen) sampai hari ini, program yang dijalankan diterima positif oleh kalangan golongan muda," katanya kepada pemberita semasa tinjauan mesra di sekitar Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Sama Gagah, Permatang Pasir dekat sini, hari ini.

Sekiranya penerimaan itu dapat diterjemahkan ke atas kertas undi pada hari pengundian esok, katanya BN berkemungkinan besar dapat membuat kejutan di kawasan Parlimen itu yang sebelum ini disandang PKR.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan turut berpuas hati dengan penerimaan masyarakat Permatang Pauh terutamanya di kawasan-kawasan yang dianggap 'hitam' untuk BN.

BACA: PRK Rompin: PM Najib ucap tahniah kepada Hasan Arifin atas kemenangan

Ditanya mengenai keputusan PRK Rompin yang menyaksikan penurunan majoriti undi calon BN Datuk Hasan Arifin semalam, Khairy berkata beliau berpuas hati kerana kemenangan tetap diperoleh ketika kerajaan BN diasak dengan isu Felda dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Ketua Pemuda UMNO itu berkata walaupun pembangkang memainkan isu sama di Permatang Pauh, beliau menjangka berlakunya perubahan positif berdasarkan penerimaan masyarakat di sini.

Pada PRK Rompin, Hasan menewaskan calon PAS Nazri Ahmad dengan majoriti 8,895 undi setelah meraih 23,796 undi berbanding Nazri yang mendapat 14,901 undi.

PRK Parlimen Rompin diadakan berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.

Esok, PRK Permatang Pauh menyaksikan calon PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dicabar oleh Suhaimi, Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan Salleh Isahak (Bebas).

BACA: Penduduk Permatang Pauh mahukan pemimpin berjiwa rakyat