KUALA LUMPUR: Penasihat DAP, Lim Guan Eng mencadangkan kurikulum pendidikan berasaskan merit serta satu peperiksaan untuk semua sebagai usaha memperbaiki kedudukan Malaysia dalam Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA).
Cadangan itu merupakan antara 10 tonggak asas yang dikemukakannya susulan Muktamar Pas ke-72 dan Perhimpunan Agung UMNO 2026 yang berlangsung baru-baru ini.
Menurutnya, 10 tonggak itu dikemukakan bagi mendepani Pas dan UMNO selain memperkukuh perpaduan rakyat serta integrasi antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
“Memperjuangkan kecemerlangan dan kurikulum pendidikan berasaskan merit menerusi satu peperiksaan untuk semua bagi meningkatkan kedudukan Malaysia dalam penilaian PISA yang semakin merosot,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Bagaimanapun, Guan Eng tidak memperincikan bentuk peperiksaan berkenaan atau kaedah pelaksanaannya, termasuk kaitannya dengan sistem peperiksaan sedia ada.
Antara tonggak lain yang disenaraikan ialah menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang serta mempertahankan demokrasi, pengasingan kuasa dan autonomi Sabah serta Sarawak.
Guan Eng turut menekankan usaha melindungi hak semua rakyat Malaysia, merangsang pertumbuhan ekonomi, mengurangkan kos sara hidup dan memastikan manfaat ekonomi diagihkan secara saksama.
Selain itu, beliau menggariskan kepentingan menyediakan penjagaan kesihatan asas, melindungi alam sekitar dan warisan budaya serta memperluas akses kepada pendidikan dan peluang digital.
Beliau turut mencadangkan pelaburan dalam infrastruktur bagi menyediakan jalan raya dan pengangkutan awam yang baik serta bekalan elektrik dan air yang boleh dipercayai.