NEW DELHI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencuri perhatian warga maya apabila memuat naik hantaran bersahaja sejurus tiba di New Delhi petang ini, yang disifatkan memberi respons secara terus kepada sindiran Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Menerusi hantaran di akaun Instagram dan Threads rasmi miliknya, Anwar secara berseloroh menggelarkan dirinya sebagai "Guru", istilah yang berkali-kali dipetik Zahid ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di ibu negara pada Jumaat.
"Alhamdulillah Guru selamat tiba di New Delhi, India untuk membawa nama negara di pentas dunia dalam Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18.
"Doakan misi diplomasi negara ini mencapai matlamatnya. Semoga anak didik dapat belajar dari Guru cara Diplomasi MADANI diterjemahkan. Slayyy," katanya sambil menyertakan tanda pagar #GuruMADANI.
Terdahulu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Zahid dalam ucapannya berulang kali menitipkan pesan kepada individu yang dirujuknya sebagai "guru" agar mendengar rintihan UMNO, Barisan Nasional (BN), dan rakyat.
Selain itu beliau mengingatkan agar "tidak membutakan mata dan menulikan telinga".
Hantaran balas Perdana Menteri itu pantas tular di media sosial dengan ribuan reaksi netizen yang menyifatkan respons berkenaan sebagai diplomasi berhemah namun berjiwa muda dalam meredakan suhu politik tempatan.