Hak 40% hasil Sabah: Saya hairan kenapa perlu ada lagi perundingan - Jeffrey

Jeffrey hadir Program Ramah Mesra STAR bersama Presiden bagi Parlimen Kota Belud pada Rabu - Foto Astro AWANI/Nasruddin Samad
KOTA BELUD: Datuk Seri Jeffrey Kitingan berpendirian bahawa Kerajaan Persekutuan tidak perlu mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang berpihak kepada Sabah berhubung hak tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan dari negeri itu.
Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) itu menegaskan bahawa keputusan mahkamah perlu dihormati dan dilaksanakan tanpa sebarang alasan.
Beliau berkata, berdasarkan keputusan mahkamah itu, Kerajaan Persekutuan diberikan tempoh 90 hari untuk mencapai persetujuan berkenaan jumlah yang sepatutnya diterima Sabah, dan seterusnya perlu dilaksanakan dalam tempoh 180 hari.
"Saya hairan kenapa perlunya ada lagi perundingan dan perbincangan. Sedangkan Perdana Menteri sendiri bercakap dengan saya, yang tidak perlu ada jawatan kuasa lagi sebab kita perlu laksanakan sahaja."Itu semasa dia mengambil alih jawatan sebagai Perdana Menteri dan saya mempunyai keyakinan bahawa ini akan berlaku.
"Tetapi selepas itu ditubuhkan jawatan kuasa juga, walaupun dinamakan jawatankuasa teknikal (Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63) tetapi masih ditubuhkan. Sehingga ke hari ini sudah hampir tiga tahun tetapi belum lagi terlaksana," katanya ketika ditemui Astro AWANI selepas Program Ramah Mesra STAR bersama Presiden, di sini pada Rabu.
Terdahulu, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi penerangan khas di Parlimen menegaskan kerajaan menghormati, dan akan meneliti alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkait 40 peratus hasil Persekutuan kepada Sabah.
Perdana Menteri berkata, alasan penghakiman yang akan diterima, akan diteliti sebelum sebarang tindakan lanjut dilaksanakan atas nasihat Peguam Negara demi kebaikan dan kepentingan Sabah dan Malaysia seluruhnya.
Mengulas lanjut, Jeffrey yang merupakan tokoh politik, yang sudah lama memperjuangkan hak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berkata, sebarang percubaan untuk melengahkan pelaksanaan keputusan mahkamah itu hanya akan mengundang persoalan terhadap keikhlasan kerajaan dalam menunaikan hak Sabah, sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Beliau menambah rakyat Sabah tidak akan berdiam diri terhadap sebarang usaha melambat-lambatkan pelaksanaan hak negeri itu, yang termaktub dalam perjanjian.
"Kita (Sabah) terpaksa gunakan saluran mahkamah untuk pengadilan dan bila mana mahkamah memutuskan yang perlembagaan ini harus dihormati dan dilaksanakan, mereka seolah-olah mahu merayu lagi dan tidak mahu laksanakan," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami