Halangan imigresen ke atas beberapa pemimpin parti pembangkang ke Sarawak tidak akan ditarik semula buat masa ini, kata Ketua Menteri Tan Sri Dr Adenan Satem.

Tambahnya, mereka boleh melawat negeri tersebut selepas pilihanraya negeri.

"Saya ingin menjaga keharmonian negeri ini. Oleh sebab itu saya ambil tindakan sedemikian," jawab Adenan.

Ditanya pula apakah respon beliau kepada kritikan Ketua DAP Sarawak Chong Chieng Jen, Adenan berkata beliau sudah menjangkakan kenyataan sebegitu.

"Biasalah, pembangkang akan kata begitu. Saya hanya inginkan keharmonian buat negeri ini," kata Adenan.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubar pada 11 April lalu, setelah tarikh itu telah diperkenan oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud, bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri yang ke-11 diadakan.

Menurut Klausa 4 Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya negeri perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri.

Penggal DUN Sarawak sekarang sepatutnya berakhir pada 30 Jun ini dan SPR memutuskan tarikh penamaan calon dan mengundi sebaik dimaklumkan mengenai pembubaran DUN itu.

Barisan Nasional ketika ini menguasai 55 daripada 71 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri sekarang, DAP dengan DAP 12 kerusi dan PKR tiga. Terdapat seorang wakil Bebas.

Pada kali ini, akan terdapat 11 kerusi baharu susulan persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh SPR pada tahun lepas.