IPOH: Sebarang barangan yang di luar daripada kebiasaan ketika perbahasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hendaklah dirujuk kepada Speaker ataupun Setiausaha Dewan terlebih dahulu.

Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata sesi perbahasan yang berlangsung semalam sewajarnya tidak lagi berulang pada masa akan datang.

“Justeru saya memohon kerjasama pihak keselamatan untuk melaksanakan pemeriksaan yang lebih rapi terhadap barang yang dibawa masuk ke dalam Dewan Negeri, termasuk beg, bungkusan dan sebagainya.

“Saya harap tak ada pula yang hendak bawa ‘kambing’ atau ‘lembu’ ke dalam persidangan hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi Pengumuman Speaker sebelum Persidangan DUN Perak bermula di Bangunan Perak Darul Ridzuan dekat sini pada Rabu.

Walaupun tidak menyatakan terperinci namun difahamkan kenyataan Mohammad Zahir itu merujuk kepada tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad yang membawa seekor ayam segar ketika sesi perbahasan Belanjawan 2022 Perak pada Selasa.

BACA: Wakil rakyat bawa 'ayam mahal' dalam DUN, hadiah pada Exco

Muhamad Arafat semalam menjelaskan tindakan itu dilakukan bagi menegur ADUN Gunung Semanggol, Razman Zakaria yang merupakan Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri agar mengambil berat terhadap masalah kenaikan harga barang yang berlaku akhir-akhir ini.

Tambah Mohammad Zahir, beliau berharap agar semua ADUN dapat menjaga etika ketika berbahas supaya menjaga kedudukan DUN sebagai institusi legislatif negeri.

“Selaku Yang Dipertua Dewan, saya amat memahami hasrat setiap Ahli Yang Berhormat yang berbahas sentiasa berusaha sedaya upaya untuk mengetengahkan isu semasa khususnya isu-isu yang berkaitan dengan denyut nadi rakyat.

“Walau bagaimanapun pada masa sama etika perbahasan perlu diutamakan agar dapat melambangkan Dewan yang mulia ini sebagai Institusi Legislatif Negeri,” ujar beliau.