KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan UMNO, Shahril Suffian Hamdan menyifatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Hasni Mohammad sebegai seorang pemimpin hebat yang meletakkan kepentingan negeri dan parti mengatasi peribadi.

Menurut beliau, Hasni juga menjiwai semangat kata-kata yang dilafazkan 'tiada ideologi politik, tiada parti politik yang lebih penting dari Johor Darul Ta'zim''.

Shahril juga menegaskan, Hasni telah membuktikan beliau berjaya mengemudi dan meletakkan Johor pada landasan yang baik walaupun mengharungi pelbagai rintang dalam usaha memacu proses pemulihan pasca COVID-19, sekali gus kembali membangunkan Johor di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).

"Meskipun tidak lagi menjadi Menteri Besar Johor, tiada yang mampu menafikan Datuk Hasni wajar diiktiraf sebagai arkitek kebangkitan Johor dan UMNO serta BN Johor.

"Tentunya bukan calang-calang orang mampu memimpin BN dan UMNO negeri yang terdiri daripada ramai tokoh hebat serta dalam suasana politik mencabar.

"Kami yang berkempen semasa PRN menyaksikan secara dekat ketokohan dan keupayaan beliau sebagai seorang pemimpin di mata parti mahupun rakyat," katanya dalam satu kenyataan.


Beliau berharap ketokohan dan kepemimpinan Hasni dapat terus dimanfaatkan pada pentas politik negeri dan negara selepas ini.

Shahril juga berharap Menteri Besar Johor yang baharu, Datuk Onn Hafiz Ghazi dapat meneruskan kegemilangan negeri Johor.

Beliau yakin Onn Hafiz dapat menggalas amanah ini dan membuktikan bahawa beliau juga mampu menghadapi cabaran yang mendatang dengan gaya tersendiri ke arah matlamat sama, iaitu mengotakan Ikhtiar BN Johor demi kestabilan masa depan.

"Terima kasih Bangsa Johor memilih BN. Terima kasih menerima kami datang dari seluruh negeri dan negara untuk berkempen.

"Kini terserah kepada Bangsa Johor dan kepimpinannya yang baharu untuk terus melakar kisah tersohor negeri Johor Darul Ta'zim," katanya lagi.

Onn Hafiz dipilih sebagai Menteri Besar Johor yang ke-19 dan upacara mengangkat sumpah telah dilaksanakan di hadapan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Balai Mengadap Istana Bukit Serene, Johor Bahru.