KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyifatkan pengumuman bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk menyertai agenda Rumah Bangsa sebagai perkembangan yang memberi sinar baharu kepada parti itu.
Perkara tersebut dikongsikan Reezal menerusi satu hantaran di Facebook pada Jumaat.
Advertisement
Menurut beliau, keputusan Khairy itu juga diyakini akan menggembirakan arwah bapa mentuanya, Tun Abdullah Ahmad Badawi, sekiranya tokoh negara itu masih ada.
“Pengumuman ini memberi sinar baharu kepada UMNO dan pastinya akan membuatkan arwah Tun Abdullah Ahmad Badawi gembira sekiranya beliau masih ada,” katanya.
Selain itu, Reezal turut menyifatkan pengumuman berkenaan sebagai satu khabar yang menggembirakan, lebih-lebih lagi ia diumumkan sempena malam Nuzul Al-Quran.
Terdahulu, Khairy mengumumkan secara terbuka hasratnya untuk kembali menyertai UMNO melalui agenda Rumah Bangsa menerusi episod terbaharu siri audio siar Keluar Sekejap.
Khairy yang dipecat daripada UMNO empat tahun lalu berkata, beliau melihat kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai satu perkembangan positif.
Kenyataan yang dikeluarkan pada 6 Mac itu antara lain membuka pintu penyatuan tanpa syarat kepada bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung keahlian, sekali gus memberi ruang untuk mereka kembali bersama parti.