POLITICS
Hasrat PN gabung dengan UMNO hanya mimpi di siang hari - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid berucap pada Majlis Santuni Kasih Syawal Bersama Masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Sungai Kroh hari ini. - Foto Bernama
TAPAH: Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan hasrat Perikatan Nasional (PN) untuk bergabung dengan parti itu bagi membentuk Kerajaan Negeri Perak, ibarat mimpi di siang hari.
Ringkasan AI
- Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menolak cadangan Perikatan Nasional (PN) untuk bergabung dengan UMNO bagi membentuk Kerajaan Negeri Perak, menyifatkannya sebagai "mimpi di siang hari."
- Zahid menegaskan bahawa Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, telah berkhidmat dengan baik dan mampu menyelesaikan keperluan rakyat tanpa penggabungan.
- PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, PN, dan PSM, dengan hari mengundi ditetapkan esok.
"...kalau di Ayer Kuning ini baru ada cadangan itu, saya ingat ketika ini 12.30 tengah hari, kalau kita mimpi tentunya mimpi di siang hari," katanya pada sidang media selepas Majlis Santuni Kasih Syawal Bersama Masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Sungai Kroh di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata masalah ladang babi di Perak terutama di Ayer Kuning boleh diselesaikan sekiranya UMNO bergabung dengan PN bagi membentuk kerajaan negeri.
Berkenaan pengulangan isu nasional yang sering dimainkan PN ketika berkempen, Ahmad Zahid berkata kesemua permasalahan itu tidak relevan kerana isu dibangkitkan telah diselesaikan, sama seperti pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri (Kelantan) dan PRK DUN Mahkota (Johor).
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata beliau tidak pernah menyebut nama bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kes surat pelepasan tanggungjawab sebagai pemegang amanah bagi aset milik UMNO.
Sebelum ini, media melaporkan Dr Mahathir menafikan dakwaan bahawa beliau enggan menandatangani surat pelepasan tanggungjawab sebagai pemegang amanah bagi aset milik UMNO.
PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang diadakan susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, akibat serangan jantung pada 22 Feb lepas, menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Dr Mohamad Yusri Bakir, calon PN Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani KS.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan esok sebagai hari mengundi bagi PRK DUN itu.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami