Skip to main content

Malaysia

PM Anwar hadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC di Shenzhen, adakan pertemuan dengan Xi Jinping - Duta

Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad pada sidang media di Shenzen hari ini. - Foto Bernama
Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad pada sidang media di Shenzen hari ini. - Foto Bernama

Ringkasan AI

  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC ke-33 di Shenzhen dari 18 hingga 20 November.
  • Anwar dijadualkan mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden China Xi Jinping serta beberapa pemimpin ekonomi APEC lain.
  • Lawatan ini bertujuan memperkukuh kerjasama dua hala, khususnya dalam perdagangan, pelaburan, pendidikan, ekonomi digital dan bidang berpotensi lain.
Advertisement

SHENZHEN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan kerja selama tiga hari ke Shenzhen dari 18 hingga 20 November ini bagi menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-33, selain mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden China Xi Jinping.

Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad berkata ini merupakan lawatan keenam Perdana Menteri ke China, selepas kunjungan terakhir beliau ke Shanghai dan Hangzhou pada September lepas.

“Perdana Menteri akan diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution, selain pegawai kanan kerajaan,” katanya pada sidang media di sini hari ini. 

Advertisement

Katanya program Perdana Menteri akan bermula pada pagi 18 November dengan menghadiri majlis pembukaan Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) APEC, dengan Xi dijadualkan menyampaikan ucaptama pada acara itu.

Anwar turut dijangka menyampaikan ucapan bertajuk, ‘Rethinking Openness: Building Shared Prosperity in the Asia Pacific’ pada sidang kemuncak tersebut.

Advertisement

Pada sebelah malam, Perdana Menteri akan menghadiri Majlis Makan Malam Sambutan dan Persembahan Kebudayaan Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) yang dihoskan Xi bersama isterinya, Peng Liyuan di Dewan Xiangmi, Pusat Komunikasi Antarabangsa Shenzhen (SICC).

Keesokannya, Norman berkata Anwar dijadualkan menghadiri dan menyampaikan Kenyataan Negara pada AELM ke-33 yang bertemakan, ‘Building an Asia-Pacific Community to Prosper Together’.

Di luar mesyuarat itu, beliau dijangka mengadakan pertemuan dua hala dengan beberapa pemimpin ekonomi APEC bagi membincangkan isu yang mempunyai kepentingan bersama.

Norman berkata setakat ini, pertemuan dua hala yang disahkan adalah dengan Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon dan Ketua Eksekutif Hong Kong John Lee Ka-chiu.

Pada 20 November, Anwar dijadualkan mengadakan pertemuan dua hala dengan Xi di Rumah Tetamu Negara Qilin Villa, Shenzhen.

Katanya kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), inisiatif Dua Negara, Taman Berkembar, pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), ekonomi digital dan kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, pelancongan serta kerjasama pelabuhan.

“Selain menghadiri AELM, Anwar turut dijadualkan mengadakan pertemuan dengan pemain industri utama pada 18 dan 19 November bagi membincangkan peluang perniagaan dan pelaburan,” katanya.

Ini termasuk menyertai Dialog Perdagangan dan Pelaburan Peringkat Tinggi Malaysia-China anjuran Majlis Perniagaan Malaysia-China (MCBC).

Norman berkata lawatan itu penting untuk meneruskan momentum hubungan Malaysia-China, khususnya dalam memperluas kerjasama perdagangan dan pelaburan serta meneroka bidang baharu yang berpotensi untuk dibangunkan.

China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 17 tahun berturut-turut sejak 2009, dengan jumlah dagangan antara Malaysia dan China pada 2025 meningkat sebanyak 11.8 peratus kepada RM541.54 bilion (AS$126.81 bilion), merangkumi eksport bernilai RM188.89 bilion (AS$44.22 bilion) dan import bernilai RM352.66 bilion (AS$82.59 bilion).

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement