AYER KEROH: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen beliau untuk terus mempertahankan kestabilan politik negara dengan mengekalkan kerjasama kukuh bersama Barisan Nasional (BN) dan UMNO di peringkat Kerajaan Persekutuan.
Presiden PKR itu menegaskan, asas pembentukan Kerajaan Perpaduan dibina atas kesedaran serta hikmah untuk memulihkan ekonomi negara, bukannya berlandaskan kemarahan mahupun emosi politik yang sempit.
Menurut beliau, hubungan peribadi dengan pimpinan utama parti gabungan termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor kekal berada pada tahap terbaik.
"Tanya saya apa pilihan saya? Saya pilih kestabilan, saya pilih kemakmuran rakyat melalui pertumbuhan ekonomi, dan saya pilih untuk terus bekerjasama dengan Barisan Nasional dan UMNO di peringkat Pusat supaya dua prinsip ini diteruskan.
"Pilihan itu pilihan saya, pilihan mereka biar mereka jawab. Sebagai sebuah parti perjuangan, apa pun kita bersedia. Tetapi kita harus jaga perpaduan ini dengan penuh hikmah kerana hubungan peribadi saya dengan Datuk Seri Zahid masih terlalu baik dan kita boleh berunding secara sahabat," kata Perdana Menteri.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Penggulungan Presiden pada hari kedua Kongres Nasional PKR 2026 di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh pada Ahad.
Dalam kongres yang berlangsung selama dua hari itu, beberapa perwakilan negeri secara terbuka menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap tindakan segelintir rakan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan, khususnya UMNO.
Mereka membangkitkan rasa kecewa terhadap sikap yang disifatkan seperti 'bertepuk sebelah tangan', susulan beberapa keputusan mengejutkan di peringkat negeri yang dibuat secara unilateral tanpa rundingan mahupun pemakluman awal kepada pimpinan PKR.
Mengulas mengenai dinamik politik di peringkat negeri, Anwar mengakui wujud beberapa keputusan mengejutkan kebelakangan ini yang dibuat tanpa pemakluman awal, namun menasihatkan agar semua pihak tidak bertindak secara terburu-buru.
"Apa yang berlaku beberapa bulan kebelakangan ini ialah beberapa keputusan mengejutkan yang tidak dimaklumkan kepada kita. Alasan mereka strategi pengukuhan parti, itu hak mereka.
"Tetapi dalam satu pakatan mestilah ada kesetiaan, berunding dengan baik dan saling menghormati. Terbakar kampung nampak asap, terbakar hati siapa yang tahu. Harga untuk menjaga dan membina negara ini terlalu tinggi, maka gunakanlah kebijaksanaan agar tidak bertindak secara gopoh," ujar beliau.