Skip to main content

Malaysia

Sultan Selangor berangkat ke majlis bacaan yasin, doa selamat sempena Jubli Perak 25 Tahun

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah (kiri) berkenan berangkat ke Majlis Bacaan Yasin, Doa Selamat dan Tahlil serta Solat Jumaat sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor (2001 - 2026) di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam hari ini. - Foto Bernama
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah (kiri) berkenan berangkat ke Majlis Bacaan Yasin, Doa Selamat dan Tahlil serta Solat Jumaat sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor (2001 - 2026) di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam hari ini. - Foto Bernama

Advertisement

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan berangkat ke majlis bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat bersempena dengan sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Sultan Selangor. 

Berangkat sama Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah. 

Keberangkatan tiba baginda di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini disambut Tengku Laksamana Selangor Tengku Sulaiman Shah diiringi Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari. 

Bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat yang dipimpin oleh Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Opir itu disertai kira-kira 15,000 jemaah termasuk pegawai serta anggota pasukan keselamatan yang bertugas di Selangor.

Sultan Sharafuddin kemudian menunaikan solat Jumaat dan mendengar khutbah bertajuk ‘Dari Takhta Ke Hati Rakyat, 25 Tahun Menjunjung Daulat’ yang disampaikan Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Datuk Muhammad Farhan Wijaya dan solat Jumaat dipimpin Sheikh Abdul Karim Omar Al Makki.

Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Sultan Selangor berlangsung dari 28 Sept hingga 1 Nov sebagai tanda taat setia, penghormatan dan kesyukuran rakyat serta pentadbiran kepada baginda.

Sebanyak 20 program dan majlis rasmi dirangka meliputi aspek kemasyarakatan, keagamaan, kelestarian alam sekitar, pembangunan infrastruktur dan sukan, dengan acara kemuncak sambutan dijadual berlangsung pada 25 Okt bersempena dengan genap 25 tahun pemerintahan baginda yang melibatkan tiga istiadat utama.

Tiga istiadat berkenaan ialah Istiadat Pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama berserta 21 das tembakan, Istiadat Pemasyhuran Gelaran dan Mengangkat Sumpah serta Menjunjung Duli Orang-Orang Besar Istana dan Dato’ Diraja Selangor, serta Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor.

Kerajaan Negeri Selangor turut mengumumkan 26 Okt sebagai Hari Kelepasan Am Gantian, susulan cuti peristiwa pada 25 Okt yang jatuh pada Ahad.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement