KUALA LUMPUR: Semasa tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) terus jadi tajuk utama perbualan dalam kalangan ramai pemerhati politik, parti-parti politik dan gabungannya pula dilihat berlumba-lumba mengadakan konvensyen dan perhimpunan, sekali gus membuat persiapan menghadapi pilihan raya.

Esok sahaja, ada lima pertemuan politik melibatkan pelbagai parti dan gabungan masing-masing iaitu UMNO, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Warisan (Warisan), Parti Berjasa Malaysia (Berjasa) dan Perikatan Nasional (PN).

Di ibu negara, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mengadakan Taklimat Khas Presiden bersama ahli jawatankuasa bahagian dan pimpinan parti itu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, bagi membincangkan kesiapsiagaan UMNO menghadapi pilhan raya, selain menyentuh isu semasa melibatkan parti.

Dua hari lepas, Biro Politik UMNO sudah pun mengadakan mesyuarat di ibu pejabat parti, difahamkan bagi membincangkan perkembangan semasa, termasuk keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

PN pula buat julung kalinya akan mengadakan Konvensyen PN 2022 bagi menetapkan hala tuju dalam menghadapi PRU15 serta membincangkan isu-isu semasa berkaitan rakyat pasca COVID-19, di samping majlis sambutan ulang tahun keduanya.

Konvensyen yang dijadualkan berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang itu akan dihadiri 1,800 perwakilan daripada semua parti komponen PN - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah dan Parti Maju Sabah (SAPP).

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam satu kenyataan sebelum ini berkata, konvensyen itu akan menjadi wadah untuk memperbaharui tekad perjuangan dan mengukuhkan kerjasama parti sekutu PN secara keseluruhannya.

PKR, parti utama dalam Pakatan Harapan pula akan menganjurkan Konvensyen Pilihan Raya 2022 sebagai persediaan untuk menghadapi PRU15 di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia dan Sukan Selangor, Shah Alam.

Pengarah Konvensyen Pilihan Raya PKR 2022 G. Manivanan dalam kenyataan berkata, kovensyen itu melibatkan semua lapisan pimpinan termasuk pimpinan pusat, negeri, cabang, Angkatan Muda Keadilan, Wanita, Srikandi, Ahli-ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, aktivis parti, akar umbi dan sukarelawan parti.

Konvensyen bermula 2 petang itu terbahagi kepada dua segmen iaitu segmen pertama suara akar umbi dan segmen kedua, suara pimpinan terdiri daripada ucapan dan amanat khas pilihan raya oleh Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim serta amanat strategi pilihan raya oleh Pengarah Pilihan Raya PKR, Rafizi Ramli.

Sementara itu, dianggarkan 2,000 pimpinan Berjasa, yang baru-baru ini mengumumkan kerjasama dengan beberapa parti lain di bawah gabungan Gerakan Tanah Air (GTA), akan menyertai Himpunan Nasional 2022 di Dewan Tun Abdul Razak, Menara Bank Rakyat, di sini.

Presiden Parti, Zamani Ibrahim dalam kenyataan memaklumkan, himpunan itu akan mengetengahkan aspirasi perjuangan serta tawaran parti Berjasa dalam rangka mengangkat agenda memperkasakan negara.

Pengerusi GTA merangkap pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad dijadual menyampaikan ucapan di majlis itu.

Di Sabah, Parti Warisan (Warisan) dijadual mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan 2021 dan pemilihan parti di Dewan Kadazandusun Cultural Association Sabah (KDCA), Penampang bermula 9.15 pagi esok.

Presiden parti, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang mengekalkan jawatan setelah menang tanpa bertanding dijadual merasmikan mesyuarat itu dan menyampaikan ucapan dasar parti.

Hanya 20 jawatan Ahli Majlis Tertinggi Parti akan dipertandingkan dalam pemilihan kali ini susulan jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden parti disahkan dimenangi tanpa bertanding. Sayap parti iaitu Wira, Wirawati dan Wanita mengadakan Persidangan Agung Tahunan 2021 dan pemilihan masing-masing, hari ini.

Seramai 5,000 perwakilan dan pemerhati daripada 25 bahagian parti itu di Sabah, satu bahagian di Labuan dan beberapa Jawatankuasa Penaja dari Semenanjung dijadual menghadiri perhimpunan itu. - BERNAMA